Total Pageviews

Thursday 23 June 2011

Label 'Pembantu' Low Class!

BAWA ADUAN, MAKLUMAT KE MAJLIS PERHIMPUNAN PERDANA PERKHIDMATAN AWAM
Berita Harian
15/6/2011


SAYA meneliti tulisan oleh 'anti diskriminasi' dalam ruangan ini baru-baru ini bertajuk 'kenaikan pangkat PTD dengan Pegawai Teknikal tidak seimbang'. Saya mendapati ada benarnya dakwaan itu kerana saya pernah berkhidmat di pelbagai kementerian sebelum ini.

Saya ingin mencadangkan kepada ‘anti diskriminasi’ supaya menyediakan maklumat yang komprehensif mengenai perkara ini untuk dibawa pada Majlis Perhimpunan Perdana Perkhidmatan Awam bersama Perdana Menteri pada Mac tahun hadapan. Pada masa sama Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) disaran meneliti perkara ini supaya tidak wujud jurang antara pegawai dalam skim M (Pegawai Tadbir Diplomatik) dengan Pegawai bukan dalam skim M. Adalah menjadi hambatan juga bagi pegawai bukan dalam Skim M sukar untuk mendapat kenaikan pangkat bahkan ada yang dinaikkan pangkat mengambil masa bertahun-tahun untuk disahkan kerana melalui pelbagai proses oleh JPA. Apabila lewat disahkan maka lewatlah naik pangkat.

Dalam era transformasi yang dilaksanakan oleh kerajaan, dicadangkan pihak JPA dapat menurunkan kuasa kepada kementerian dan jabatan serta agensi untuk membuat pengesahan dalam jawatan selepas seseorang pegawai diberikan urusan pemangkuan dari gred 44 hingga ke gred 54.

Manakala, hanya Gred Utama dicadang dibuat oleh pihak JPA dengan cadangan demikian urusan kenaikan pangkat dan pengesahan dapat dibuat dengan cepat namun dari segi kualiti dan kecekapan pegawai yang berkaitan tiada kompromi mengenainya.

CEUPACS sememangnya memperjuangkan hak kakitangan kerajaan gred 1 hingga 40 saja kerana golongan ini yang menjadi tumpuan mereka. Cadangan CUEPACS untuk meletakkan kumpulan sokongan bermula gred 17 perlu diteliti kerana cadangan itu turut memberi implikasi kewangan yang besar kepada kerajaan.
Jika dilaksanakan akan menjadi masalah pengagihan tugas apabila pembantu am pejabat, pemandu kenderaan bermotor, pembantu tadbir berada di hieraki yang sama.

YOSRI ABU MAHSIN,
Kuala Lumpur.


Catatan :

Ini adalah salah satu tulisan pegawai pengurusan dan professional. Kita lihat sekarang bahawa jelas bukan saya seorang sahaja yang bercakap ada 'diskriminasi', telah ramai orang bercakap mengenainya. Malah telah ramai yang sedar bukan hanya dikalangan 'Pembantu Tadbir' sahaja, malahan golongan 'M' atau pegawai tadbir diplomatik kini telah berbunyi. Ini bermakna saya menganggap 'golongan pengurusan' ini telah dilayan dengan layanan 'double standard'. 


Jika kita lihat apa yang berlaku pada saat ini, kerajaan telah menggubal beberapa skim perkhidmatan yang terdiri dari golongan guru, doktor, farmasi bagi peringkat profesional manakala pembantu perawatan kesihatan (Pembantu = Pembantu Tadbir), tukang masak dari kumpulan sokongan. Bagi kumpulan sokongan 1 seperti Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran, Penolong Pegawai Perubatan dan jururawat telah ada jawatan dalam skim Gred 41 dan keatas. 


Adakah kita sedar bahawa penggubalan ini telah membuka satu ruang kepada mereka untuk ke peringkat yang lebih tinggi? Kita lihat dahulu Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran dahulunya disebut Inspektor Kesihatan kini telah wujud satu jawatan baru untuk mereka duduk di bahagian pengurusan dan profesional iaitu Pegawai Kesihatan Persekitaran. Begitu juga bagi jawatan Pembantu Perubatan, ada jawatan Penolong Pegawai Perubatan U42. Jururawat kini telah ada Gred U44. Dulu kita hanya kenal Atendan tetapi kini membawa gelaran 'Pembantu Perawatan Kesihatan'. Tidak kita sedar bahawa perkataan 'Pembantu" itu dahulu membawa satu 'Trademark' kepada golongan tertentu. Mengapa kumpulan 'pembantu perubatan' memohon menukar dari 'pembantu' kepada 'penolong pegawai'? Jadi jelas label 'Pembantu' itu membawa kepada satu taraf yang rendah. Jika kita sabitkan dengan 'Pembantu Perawatan Kesihatan' yang dahulunya dikenali sebagai Attendan maka kita sebenarnya adalah sama taraf dengan mereka. Begitu juga 'Pembantu Am Pejabat' yang dahulunya dikenali sebagai Pekerja AM Rendah (PAR). Namun masih ada jawatan 'Pekerja Rendah Awam' (PRA). 


Perkara diatas adalah satu diskriminasi yang telah dikelabukan. Tujuan saya menulis adalah untuk menyedarkan semua Pembantu Tadbir bahawa ini adalah salah satu sebab mengapa kita harus berkesatuan. Hanya melalui nama pada jawatan telah membuktikan bahawa pandangan mereka terhadap kita terlalu rendah. Ibarat menyamakan kumpulan kita ini sama taraf dengan Pembantu Am Pejabat walaupun gaji berbeza. Mereka juga menghadkan jawatan kenaikkan pangkat. Berbeza dengan kumpulan medik atau guru. Tanpa perlu belajar untuk mendapatkan segulung ijazah, tanpa perlu menghadapi peperiksaan khas dan hanya melalui 'time based' mereka masih berpeluang menjawat skim pengurusan dan profesional. 


Apakah kita masih tidak sedar dengan perkara ini dan hanya menuntut kenaikkan gaji sahaja? Memang saya sedia maklum, kita perlukan duit, bukan pangkat, tetapi melalui pangkat kita dapat duit lagi banyak!. Mana yang kita nak? Pada pandangan saya, saya mahukan kedua-dua sekali. Sebagaimana golongan 'Para Medik' dapat, maka selayaknya kita pun sama. Kalau mereka hanya perlu Time Based, maka kita menuntut perkara yang sama. Itu adalah yang terbaik kerana bagi sesipa yang mengejar duit, dia akan dapat peluang, bagi yang mengejar pangkat, jelas dan terang, bagi yang mencari keadilan, 'lama kerja, lagi tiinggi jawatan yang disandang'. Maka itulah yang dikatakan adil. Meletakkan sesuatu pada tempatnya. 


Jadi jelas bahawa tujuan kita berkesatuan itu adalah menuntut hak keadilan. Jika pada hari ini dengan apa yang saya tulis, kemudian hanya saya seorang sahaja yang menuntut, secara logiknya tidak akan ada sesiapa yang melayan. Tidak akan ada sesiapa pun yang membaca, mendengar dan memikir dengan tulisan saya seorang ini. Malah, mereka menganggap saya ini seorang yang tamak haloba dan gila. 


Tetapi jika pada hari ini, 14,000 orang pembantu tadbir dari kementerian kesihatan malaysia menuntut perkara yang sama, ditambah dengan semua pembantu tadbir dari seluruh jabatan di Malaysia, maka jika mereka tidak mendengar, mereka tidak melayan, maka yang 'GILA' adalah mereka. Kerana mereka tidak berfikir kesan negatif yang bakal berlaku dan salah satunya adalah 'Piket atau Mogok' yang menyebabkan sistem pengurusan, pentadbiran dan kewangan 1Malaysia akan lumpuh. Perkara ini boleh berlaku kerana kita adalah golongan 'PERLAKSANA'. Dan saya juga menegaskan setiap pembantu tadbir juga adalah 'PENGUNDI' dan jika Pembantu Tadbir tidak mengundi 'BN' maka 'BN' telah menyebabkan mereka kehilangan undi kerana 'BN' itu adalah kerajaan pada masa ini.


Bertitik tolak dari tulisan ini, saya amat mengharapkan pembaca yang budiman dapat berfikir secara rasional. Sewajarnya tulisan ini dihebahkan kepada semua PT. Supaya mereka memahami konsep perjuangan kesatuan. Supaya mereka yakin tidak ada sesiapa yang boleh menuntut hak PT melainkan hanya KESATUAN sahaja yang boleh melakukan. Maka dapatlah kita bersatu padu dengan bilangan yang ramai untuk menuntut hak dan keadilan.

3 comments:

Note: only a member of this blog may post a comment.