Total Pageviews

Tuesday 28 June 2011

MINDA PENGARANG: PERLAKSANAAN GAJI MINIMUM BERI IMPAK BESAR KEPADA RAKYAT


Berita Harian
16/6/21011




PENGUMUMAN mengenai penubuhan Majlis Konsultasi Gaji Negara 2011 kelmarin, yang dijangka beroperasi tahun ini membuktikan kerajaan benar-benar serius dalam menjamin kebajikan dan kesejahteraan pekerja pelbagai peringkat yang menyumbang kepada kemajuan negara. Penubuhan badan itu akan memberi impak besar kepada golongan pekerja berpendapatan rendah apabila kadar gaji minimum mereka dapat dilaksanakan akhir tahun ini. Kali terakhir semakan gaji kumpulan berkenaan dibuat pada 2007. Kita melihat semakan itu perlu bagi mengatasi masalah pekerja awam terpaksa membuat kerja sampingan bagi menampung kos sara hidup yang semakin tinggi. Jika itu berlaku ia boleh menjejaskan prestasi ketika mereka menjalankan tugas hakiki. Sebelum ini Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut agar kerajaan memperkenalkan gaji minimum RM900 sebulan dalam usaha membantu kakitangan berpendapatan rendah kerana segelintir mereka yang bekerja sebagai pekerja am rendah, pembantu pejabat dan pemandu masih menerima gaji pokok antara RM600 hingga RM647 sebulan. Justeru, langkah kerajaan menubuhkan Majlis Konsultasi Gaji Negara 2011 bagi tujuan menyemak tangga gaji pekerja berpendapatan rendah adalah bertepatan sekali dan sesuai dengan perkembangan semasa. Sekiranya segala-galanya berjalan lancar, termasuk dipersetujui kuantumnya, golongan pekerja terbabit dijangka menikmati gaji minimum RM900 pada akhir tahun ini. Penubuhan majlis berkenaan bagaimanapun, perlu terlebih dulu diluluskan Parlimen dan satu usul rang undang-undang akan dibentangkan oleh Kementerian Sumber Manusia pada sesi persidangan kali ini.

Kita percaya pelbagai isu berkaitan pekerja akan dibincang untuk pertimbangan menteri pada persidangan Parlimen sesi ini seperti soal persaraan, elaun kos sara hidup dan pekerja asing. Walaupun isu gaji golongan berpendapatan rendah sudah lama diperjuangkan iaitu sejak 1999 lagi, pihak kesatuan sekerja tidak boleh mengharapkan peningkatan gaji yang terlalu tinggi kerana desakan sedemikian boleh menyebabkan pelabur asing lari ke negara jiran lain di Asia Tenggara kerana kos tenaga kerja di sana lebih rendah dan mudah diperoleh berbanding di negara ini. Jika keadaan itu berlaku, ia pastinya memberi kesan kepada pendapatan negara. Apapun, kita yakin Majlis Konsultasi Gaji Negara akan membincangkan dengan teliti cadangan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), CUEPACS serta pihak lain bagi merumuskan satu formula gaji yang dipersetujui semua pihak. Kita juga mengharapkan majlis berkenaan dapat menyelaraskan skim gaji di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak, dengan mengambil kira kedudukan ekonomi semasa dan tahap kemahiran pekerja. Usaha ini penting kerana pada masa ini kira-kira 34 peratus pekerja mempunyai pendapatan di bawah garis kemiskinan dan tidak sesuai lagi dengan kos sara hidup semasa yang semakin meningkat. Walaupun asas kajian semula gaji minimum itu dilakukan menggunakan statistik Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) serta jabatan berkaitan, sewajarnya pandangan pihak kesatuan, majikan dan orang awam diambil kira sebaik mungkin.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.