Total Pageviews

Wednesday 22 June 2011

Prosedur salah

Oleh Meor Hisham Zulkifli dan S Anand Kumar
bhnews@bharian.com.my
2011/06/23

pix_gal0
Lima kesatuan mahu CUEPACS minta Perdana Menteri selesaikan isu JKR ada dua Ketua Pengarah

KUALA LUMPUR: Pelantikan bekas Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR), Datuk Seri Judin Abdul Karim sebagai Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) pada 1 Mei lalu, dikatakan bercanggah dengan prosedur peminjaman kakitangan awam yang ditetapkan Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 12 Tahun 2008, Bahagian II Perkara 4(a) untuk sektor awam.

Ini kerana pekeliling itu menetapkan peminjaman pegawai memerlukan persetujuan tiga pihak, iaitu pihak peminjam (CIDB), pembekal (JKR) dan pegawai yang terbabit terlebih dulu sebelum dikemukakan kepada Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan dirujuk kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) yang kemudian mengemukakan cadangan serta mendapatkan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Berikutan itu, Majlis Bersama Jabatan Pihak Pekerja (MBJ-JKR) menuntut supaya CUEPACS yang mewakili kesatuan berkenaan berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak supaya ia diselesaikan berasaskan prosedur dan pekeliling itu bagi memelihara maruah serta kredibiliti pegawai sektor awam.
Dalam suratnya kepada CUEPACS dan salinannya diperoleh Berita Harian semalam, gabungan lima kesatuan sekerja dalam JKR itu juga berharap Najib dan SPA dapat menamatkan konflik pelantikan Ketua Pengarah JKR yang sudah berlarutan hampir dua bulan.

Mesyuarat bersama MBJ-JKR di Langkawi semalam turut mengambil ketetapan supaya CUEPACS yang memayungi 1.2 juta kakitangan sektor awam, menjadi orang tengah menamatkan konflik berkenaan.

“Baru-baru ini berlaku pertukaran Ketua Pengarah JKR, Datuk Seri Judin Abdul Karim ke CIDB tanpa persetujuan beliau. Perkara ini menjadi gawat apabila pengganti beliau sudah pun dilantik ketika jawatan berkenaan belum dikosongkan,” menurut surat itu.

Semalam akhbar ini melaporkan, Ketua Pengarah JKR yang baru, Datuk Mohd Noor Yaacob, berkata isu dua nakhoda satu kapal tidak timbul dalam JKR kerana beliau sudah menjalankan tugas secara rasmi sejak dilantik pada 1 Mei lalu walaupun Judin enggan mengosongkan biliknya.
Mohd Noor yang sebelum itu memegang jawatan Timbalan Ketua Pengarah Kerja Raya II, berkata beliau mula menjalankan tugas sebagai Ketua Pengarah, sejajar dengan surat pelantikan yang dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

Pada 28 April lalu, Mohd Sidek mengumumkan Yang di-Pertuan Agong memperkenankan pelantikan Mohd Noor sebagai Ketua Pengarah Kerja Raya mulai 1 Mei 2011 menggantikan Judin yang dilantik sebagai Ketua Eksekutif CIDB pada tarikh yang sama.

Wartawan Berita Harian yang cuba mendapatkan ulasan Mohd Sidek mengenai perkara itu selepas satu majlis Universiti Islam Antarabangsa (UIA), kampus Kuala Lumpur, semalam bagaimanapun tidak dapat menemui beliau.

MBJ-JKR juga berharap CUEPACS mengambil tindakan susulan memperbetulkan keadaan, sekali gus memastikan proses pertukaran dan peminjaman pegawai dilaksanakan dengan betul serta telus mengikut prinsip dan lunas yang digariskan Pekeliling Perkhidmatan.

“Kami juga amat berharap SPA yang sepatutnya sebuah badan bebas bagi menjaga kepentingan perkhidmatan awam, berperanan secara bijaksana dan sewajarnya bagi menangani masalah itu.

“Senario yang sedang berlaku dalam JKR mudah-mudahan tidak merebak ke kementerian, jabatan atau agensi lain. Kemurnian tindakan yang diambil secara berhati-hati dan berhemah dengan menghormati hak penjawat awam perlu, seiring dengan konsep 1Malaysia,” menurut surat itu

Surat ditandatangani Naib Presiden Kesatuan Perkhidmatan Teknikal Semenanjung Malaysia (MTSU), Sumardi Ali; Setiausaha Gabungan Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Kerani dan Bersekutu Kerajaan (AUEGCAS) Wilayah Persekutuan, Hashim Mahmud; Yang Dipertua Pertubuhan Profesional JKR, Zulkifli Ahmad; Presiden Kesatuan Kebangsaan Pekerja JKR dan Air (NUPWDE), Sayuti Dollah dan Katoman Sukiman mewakili Kesatuan Pembantu Am Pejabat Perkhidmatan Awam Semenanjung Malaysia (KPAP).

Sementara itu, Timbalan Presiden CUEPACS, Azih Muda, menuntut perkara ini diselesaikan segera bagi mengelak imej negatif sektor awam, selain menjejaskan perjalanan urus tadbir JKR.

“CUEPACS merasakan konflik ini tidak seharusnya wujud kerana kebiasaannya urusan berhubung pelantikan atau pertukaran yang membabitkan pegawai perkhidmatan awam dilaksanakan secara tertib oleh JPA. Sebagai kesatuan mewakili kakitangan kerajaan, kami memandang serius kemelut dalam JKR dan amat berharap ia diselesaikan segera,” katanya

Catatan : Kalau kita kaji balik sebab apa berlaku macam ni? Ni lah yang dikatakan 'ATAS KEPENTINGAN PERKHIDMATAN' maka pegawai tadi telah ditukarkan tanpa mengambilkira peri kemanusiaan dan sebagainya. Dah terang pegawai berkenaan tak mahu pi, nak buat macam mana? Kenapa JKR tak ambil tindakan tatatertib kat pegawai tu? Sebab dia Ketua Pengarah. Mana boleh ambil tindakan tatatertib pada ketua pengarah. Sedangkan jelas dia dah ingkar perintah (tak mahu tukar walaupun surat dah keluar). Tetapi kalau kumpulan sokongan buat mcm tu, dah kene terajang dah. Jadi adakah anda nampak? Kesatuan sahaja yang boleh membantu menyelesaikan pertikaian tred. Itulah fungsi kesatuan. Dan hangpa-hangpa yang belum masuk kesatuan, cepat-cepat masuk kesatuan.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.