Total Pageviews

Saturday 25 June 2011

Menyelami Semangat BERSIH 2.0

Saya amat tertarik dengan kempen yang dibuat oleh BERSIH iaitu turun ke jalan raya sebelum ke pilihanraya. Kempen ini dijangkan mendapat sambutan yang hangat memandangkan ekonomi keluarga di Malaysia kini berada pada tahap yang amat meruncing.

Secara rasional, kenaikkan harga minyak dan penarikan balik subsidi diesel merupakan faktor utama barang keperluan asas mengalami kenaikkan harga. Rasional kenaikkan ini adalah setiap barang dihantar menggunakan lori yang menggunakan diesel. Syarikat-syarikat besar biasanya menghantar dengan kuantiti yang banyak dengan harga yang rendah. Ini bermakna jika sebuah syarikat membekal ikan sekilogram dengan keuntungan sebanyak RM0.50 secara kasar, maka setelah subsidi ditarik keuntungan tersebut telah menurun kepada RM0.40. Walaupun syarikat berkenaan masih untung, tetapi jika dikira satu hari beliau telah kehilangan pendapatan sebanyak RM0.10, sebulan RM3.00, setahun RM3.60 bagi setiap kilogram ikan.

Kita perlu menerima hakikat bahawa syarikat ini terpaksa mengekalkan keuntungan pada tahap RM0.50 memandangkan kos-kos lain termasuk gaji, bayaran interest pinjaman, kos pentadbiran, caj pengangkutan dan lain-lain lagi. Untuk mengekalkan keuntungan tersebut, maka yang menjadi mangsa adalah pengguna yang terpaksa menanggung kos tersebut. Harga barangan tersebut terpaksa dinaikkan sebanyak RM0.10.

Dinegara kita, sifat ketelusan mana-mana pihak begitu rendah. Sebagai contoh harga gula, jika pemilik kilang gula telus dengan memberitahu masalah yang sebenar berlaku, maka saya amat yakin rakyat dapat menerima. Namun demikian, pihak kerajaan terpaksa menghadapi kenyataan bahawa telah jelas ekonomi negara dalam keadaan meruncing memandangkan faktor kenaikkan harga. Perkara ini amat serius dimana menjejaskan pelaburan syarikat asing dalam negara. Namun demikian, rakyat juga terpaksa menanggung segala perkara ini.

Dalam masa yang sama, kita sebagai penjawat awam turut terkena tempias. Kenaikkan harga telah menyebabkan kos sara hidup turut naik. Jika kita melihat kepada golongan yang lebih rendah mereka lebih terasa. Tetapi jika kita melihat kepada golongan yang lebih tinggi, maka mereka akan lebih mewah. Sebagai contoh seorang pegawai dari pengurusan profesional diberi pelbagai elaun termasuk kenderaan, keraian, pemandu malah menikmati duit minyak serta diberi kelebihan tuntutan elaun hitungan batu. Jika kita mengira, minyak mereka tidak perlu beli, kerajaan dah bagi elaun, kereta mereka tak perlu berhutang, kerajaan membekalkan, tol dan hitungan batu juga kerajaan membenarkan tuntutan dibuat. Maka dengan gaji nilai RM10,000 tadi, seberapa banyak yang perlu digunakan oleh mereka? Semua kemudahan asas sebagai seorang pekerja telah diberi kepada golongan ini.

Apabila kita melihat kepada diri kita, yang ada cuma elaun rumah,cola dan khidmat awam. Elaun rumah RM180 sedangkan hakikatnya bayaran untuk menyewa rumah tidak lagi ada RM180. Maka dah terpaksa menggunakan gaji. Elaun cola sebagai duit minyak sebanyak RM150.00. Jika menggunakan motosikal, 1 liter minyak boleh mencapai 20km perjalanan secara purata. Sekurang-kurangya setiap orang yang menggunakan motor sebagai pengangkutan akan menggunakan 2 liter minyak setiap hari untuk berulang alik dari rumah ke tempat kerja. Ron 95 dijual dengan harga 1.90 satu liter, maka untuk satu perjalanan pergi dan balik nilainya adalah RM3.80. Dalam sebulan sekurang-kurangnya berulang alik selama 25 hari. Maka sebulan 25 hari x RM3.80 = RM95.00. Maka elaun cola tadi telah berbaki RM55.00. Tetapi ini bagi yang duduk dibandar. Bagaimana pula bagi yang diluar bandar. Bagaimana pula yang menggunakan kereta. Bagaimana pula yang terpaksa menghantar anak kesekolah? Jika kita kaji lagi dari segi harta, kita tepaksa membeli kenderaan untuk kegunaan harian. Kenderaan tersebut jika dibeli hutang maka kita terpaksa menanggung caj faedah. Kita tepaksa membeli atau menyewa rumah. Terpaksa menanggung bayaran bulanan. Kita terpaksa membayar yuran sekolah, membayar penjaga budak, membayar bil air dan api dan bermacam-macam lagi. Dengan gaji yang rendah dan tanpa apa-apa kemudahan, bagaimana kita boleh menjalani kehidupan yang sempurna?

Perbezaan jurang diantara kumpulan pengurusan dan profesional dengan kumpulan sokongan telah begitu ketara sekali. Kumpulan pengurusan dan profesional memiliki semua kelebihan dengan pelbagai elaun diberi kepada mereka. Jika mereka pandai mendominasikan duit dengan bijaksana, maka mereka akan menjadi bertambah kaya kerana tidak perlu menggunakan duit gaji mereka. Duit elaun dan segala kemudahan asas kehidupan yang diberikan oleh kerajaan Malaysia telah lebih mencukupi. Berbeza dengan kita dikumpulan sokongan. Dengan gaji yang minimum, tanpa bantuan dan elaun khas, kenaikkan harga minyak, menghadapi tekanan kewangan dimana menjalani kehidupan paling rendah, gaji yang diterima masih tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan asas.

Bertitik tolak dari perkara ini, maka prinsip yang kita lihat adalah yang kaya akan lebih bertambah kaya, yang susah akan bertambah susah.

Mengaitkan perkara ini dengan Bersih adalah mereka menuntut keadilan dalam pilihanraya dimana jelas dan terbukti ada kesangsian. Cuba kita fikirkan secara logik, dalam 1000 undi pos,mengapa tidak ada barang 10 yang memangkah pihak pembangkan? Maka disitu telah timbul satu syak wasangkan terhadap SPR.

Maka mengaitkan semangat bersih ini dengan apa yang kita lalui, mengapa pihak kerajaan boleh memberi pelbagai keistimewaan kepada kumpulan pengurusan dan profesional tetapi dalam pada masa yang sama kaum marhein yang berada dalam kumpulan sokongan dibiarkan mengemis. Dari segi logiknya, kerajaan yang adil dan berkebajikan sewajarnya membantu golongan yang susah, mengurangkan bantuan kepada golongan yang mewah. Apa yang berlaku kini adalah sebaliknya.

Kita sebagai golongan ini sewajarnya memikirkan perkara ini. Kerana masalah kewangan menjadi punca utama kegagalan sesebuah institusi kekeluargaan dan menyebabkan masalah kesihatan mental. Tekanan hidup yang dihadapi oleh kita boleh mengakibatkan matlamat negara untuk mencapai negara berpendapatan tinggi tidak akan tercapai.

Maka sewajarnya kita bangun dan bangkit bersama untuk menyedarkan pihak kerajaan. Sebagai ahli kesatuan, kita mempunyai saluran yang tepat dalam mengemukakan masalah kepada kerajaan. Maka sewajarnya kita tidak menggunakan aktiviti yang boleh menimbulkan provokasi, tetapi kita gunakan saluran yang betul untuk demokrasi. Walaupun kita ingin membuat piket atau mogok, maka kita gunakan saluran yang betul.

Sehubungan dengan itu, saya menggesa kepada semua PT supaya berusaha lebih kuat lagi untuk menambah bilangan ahli. Dengan faktor-faktor contoh yang saya berikan ini, seharusnya mereka mulai sedar tentang kepentingan berkesatuan. Kita sebagai ahli boleh menggunakan isu ini sebagai modal untuk menarik minat mereka. Semoga matlamat kita untuk mencapai 100% keahlian pada tahun ini akan berjaya. Kita jangan ikut BERSIH turun ke jalan raya sebelum pilihanraya, tapi kita IKUT SEMANGAT BERSIH memperjuangkan hak dan keadilan. Semakin ramai yang turun maka semakin kuat lah semangat. Maka semakin hampir dengan matlamat menuntut keadilan dan hak demi menjamin institusi keluarga yang harmoni.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.