Total Pageviews

Wednesday 14 December 2011

SBPA : Kerajaan Memaksa, Penjawat Awam Terpaksa.

Hari ini saya telah menelaah SBPA satu per satu. Beberapa klausa dalam SBPA telah saya minit dalam buku harian saya. Setelah membaca keseluruhan tafsiran pekeliling tersebut maka disini saya ingin membincangkan perkara-perkara yang menarik minat.

Dalam klausa 40 berkaitan dengan Pergerakkan Gaji Tahunan, kerajaan telah menetapkan bahawa setiap pegawai yang berprestasi rendah dibawah 69% tidak akan mendapat kenaikan gaji tahunan. Sememangnya dalam SSM markah prestasi tidak berkait rapat dengan kenaikkan gaji tahunan. PT sumber masih boleh menyediakan KEW 8 diawal tahun lagi. Namun demikian setelah SBPA diperkenalkan, semuanya terikat dengan kaedah-kaedah yang terkandung.

Bagi menggambarkan ketelusan kerajaan terhadap penjawat awam, markah nilaian prestasi ini dinilai melalui penggunaan kaedah pelbagai penilai, KPI dan Laporan Penilaian Prestasi Tahunan. Sepanjang tempoh perkhidmatan saya sebagai PT, saya tidak pernah diarah oleh mana-mana penyelia saya untuk menyediakan Sasaran Kerja Tahunan. Saya juga yakin ramai PT diluar sana berkeadaan sedemikian. Ini adalah hakikat kerana tugas sebagai PT, kita tidak boleh mengira kuantiti dan volume tugas yang bakal kita hadapi. Namun demikian, berikutan markah nilaian prestasi menjadi asas kepada Pergerakkan Gaji Tahunan maka mulai 2012 setiap PT disaran menyediakan sasaran kerja tahunan dan KPI sendiri. Pastikan setiap sasaran dan KPI dibaca dan ditandatangani oleh penyelia sebagai persetujuan. Ini adalah untuk mengelakkan berlaku pertikaian pada masa menyemak semula sasaran tersebut. Perkara ini dinyatakan dalam Klausa 65 bab Penilaian Prestasi.

Bagi pegawai yang berprestasi rendah, kerajaan akan memberi 3 peluang bagi membuktikan kesahihan prestasi tersebut. Bagi mengelakkan penjawat awam teraniaya, maka pegawai awam yang berprestasi rendah akan dinilai semula oleh panel berkecuali. Kaedah-kaedah yang bakal digunakan termasuklah menukar pegawai tersebut ke jabatan / agensi lain serta mengubah penyelia yang menyelia. Di bawah klausa 67 Dasar Pemisah, penjawat awam yang berprestasi rendah yang tiada peluang kemajuan serta pegawai yang menghadapi masalah kesihatan yang menjejaskan keupayaan menjalankan tugas disediakan laluan untuk berhenti secara terhormat. Namun demikian saya tidak pasti sama ada klausa ini terpakai atau tidak terhadap OKU. Klausa ini seolah-olah menidakkan peluang pekerjaan terhadap OKU dan seharusnya JPA memandang serius berkenaan perkara ini.

Sejajar dengan hasrat kerajaan 1Malaysia yang mengambil berat masalah rakyat, penjawat awam yang dibersarakan atas dasar pemisah tidak dikecualikan dari menerima faedah pencen. Mereka akan dibayar sebagaimana pesara kerajaan bersara. Tempoh sepanjang perkhidmatan diambil kira. Perkara ini termaktub dibawah klausa 73.

Bagi penjawat awam yang memilih untuk bersara awal, bayaran pencen akan mula dikeluarkan setelah mencapai umur 55 tahun. Namun demikian, perkara ini dipanjangkan kepada mereka yang dilantik selepas 12 April 1991. Perkara ini dijelaskan dibawah klausa 72.

Dalam klausa 89, saya mengaitkan perkara ini dengan usaha kesatuan untuk menaik taraf jawatan pembantu tadbir. Perkara ini adalah satu berita gembira dimana memberi laluan kepada penjawat awam yang tidak berkelayakkan tinggi menjawat jawatan tersebut. Dalam klausa ini tempoh pengalaman kerja diambil kira bagi menggantikan kelayakkan akademik seseorang penjawat awam. Sekiranya jawatan PT dijumudkan ke Penolong Pegawai Tadbir, maka secara tidak langsung sesiapa yang tidak mempunyai Diploma atau STPM turut berkelayakkan untuk menjawat jawatan tersebut berdasarkan tempoh pengalaman kerja.

Pada saya sememangnya banyak kebaikkan dalam SBPA ini. Namun demikian, bagi pihak-pihak tertentu masih ada ruang dan jalan memanipulasikan keadaan bagi menganiaya pihak-pihak tertentu. Ketirisan dan kebocoran ini lah menjadi duri dalam daging untuk penjawat awam menerima SBPA ini.

Dalam klausa 93 walaupun seseorang penjawat awam menolak SBPA, namun hakikatnya hanya emolumen sahaja yang berbeza dari segi upah kerja. Segala kaedah dalam SBPA terpakai untuknya. Perkara ini jelas menunjukkan sikap kerajaan yang benar-benar memaksa setiap penjawat awam untuk menerima SBPA.

Kesimpulan yang dapat saya buat menerusi perkara-perkara diatas adalah seperti berikut :

1. Setiap PT mulai dari sekarang perlu menyediakan SKT diawal tahun dan diperakukan oleh penyelia. Ini kerana SKT akan menjadi bukti pencapaian kita yang sebenarnya. Maka jika masih mendapat prestasi rendah, telah wujud satu pertikaian tred diantara pekerja dan majikan.

2. Dasar pemisah merupakan satu jalan bagi ketua jabatan untuk memecat mana-mana anggota yang tidak disukai. Walaupun kerajaan memperkenalkan panel berkecuali namun tidak mustahil panel-panel ini 'buyers'. Sehubungan dengan itu saya mengusulkan kepada kesatuan untuk meluluskan Peraturan 1(f) dalam peraturan-peraturan kesatuan berkuat kuasa serta merta.

Thursday 8 December 2011

Lagu Ini Ku Tujukkan Untuk JPA.

Musik - ikut rentak lagu rindu-rinduan jadi kenang-kenangan nyanyian scoin.


Sakit hati ini bagai dihiris sembilu
Sesak nafas ini bila ku mendapat tahu
Pekeliling SBPA yang baru


JPA!!!
Kau bermain dengan kata-kata,
Hingga aku benar-benar telah terpedaya
JPA!!!
Sesungguhnya engkau tak mengerti
Kami PT benar-benar telah sakit 
Hati....


Benci dan geram jadi dendaman kami,
PAP dan PRA pula dapat naik gaji
Kami ni pulak sering dianak tiri,
Dimanakah setiaku, dimanakah janjimu.


Aku kau panggil PT,
Dia kau panggil PT,
Semua pun kau panggil PT,
Kau janji naik gaji, kau janji upgrade kami,
Kau mungkiri......


Tergamaknya dirimu menipu diri kami,
Dalam bajet ini.....


Selamat tinggal BN
Kami kan boikot undi.........

Wednesday 7 December 2011

Pendapat Mengenai SBPA Berdasarkan Intipati Perlaksanaan SBPA.

Esok merupakan hari pelancaran bagi SBPA. Masih ramai penjawat awam terutama dikalangan pembantu tadbir tertanya-tanya apakah kenikmatan yang bakal dirasai selepas menerima option SBPA ini.

Saya merujuk kepada intipati pelaksanaan SBPA. Dalam skim gaji secara jelas diterangkan bahawa kumpulan Primer (Turus) dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi bakal menikmati gaji minimun - maksimum. Ini bermakna kenaikkan gaji mereka adalah berdasarkan pencapaian semasa sebagaimana peratus yang diwar-warkan. Gaji mereka hanya ditetapkan pada 2 paras iaitu satu gaji minimum dan satu gaji maksimum. Kenaikkan tahunan adalah berdasarkan kepada pencapaian sama ada 0% , 5%, 7% atau 15%. Semuanya bergantung kepada prestasi.

Berbeza dengan kumpulan pengurusan dan profesional serta kumpulan perlaksana dimana kenaikkan gaji tidak terikat kepada peratusan seperti diatas. Sbgmana yang dipost oleh KPPA, kenaikkan gaji adalah statik dan tidak bergantung kepada peratusan markah nilaian prestasi.

Disini telah terjawab bahawa amat jelas sekali bahawa Pembantu Tadbir tidak terikat dengan berapa peratus kenaikkan yang bakal dinikmati jika mencapai tahap prestasi cemerlang. Begitu juga bagi yang berprestasi rendah masih menikmati kenaikkan gaji tahunan.

Untuk Polisi Pemisah (Exit Policy), dalam intipati tersebut tidak dinyatakan secara jelas kumpulan manakah bakal diadaptasikan dengan peraturan tersebut.Berdasarkan perkara-perkara lain dalam intipati tersebut saya berpendapat bahawa exit polisi ini lebih tertumpu kepada kumpulan Primer dan Pengurusan Tertinggi. Pendapat ini disokong pula dengan khabar angin bahawa kerajaan juga bakal mengisi kekosongan jawatan kumpulan tersebut dari kalangan penjawat-penjawat swasta. Jadi amat jelas disini bahawa exit polisi ini lebih tertumpu kepada kumpulan tersebut.

Justeru itu saya berasa amat lega dengan kenyataan terbaru ini. Walaupun kenaikkan pada tahun ini tidak ketara namun KGT yang diberi jelas naik sehingga 100% berbanding SSM. Jika dahulu kenaikkan tahunan hanya RM45 kini telah menjadi RM95. Namun demikian pelarasan yang bakal dibuat dijangka mengambil kira gaji semasa kepada nilai yang hampir sama dalam tangga gaji baru. Ini bermakna kelebihan seniority tidak bermakna dimana pegawai yang baru dilantik hanya ditinggalkan dengan beberapa tangga gaji sahaja.

Friday 2 December 2011

SBPA : Jangan Terlalu Gembira

Post Tan Sri KPPA dalam wall facebook nya tentang kenaikkan gaji penjawat awam bagi skim perlaksana menceriakan segelintir golongan kita. Namun harus diingatkan kegembiraan itu sebenarnya boleh menjadi kedukaan berpanjangan kerana ada udang disebalik mee. Mee bukan mee udang di Kuala Sepetang Taiping, tetapi mee di gerai chokia tepi jalan di ceruk kampung.

Kita perlu mengetahui bahawa kerajaan kini sebenarnya kearah 'downsizing'. Bagi yang pernah mengambil subjek ekonomi mereka amat memahami apa yang dikatakan dengan downsizing dan faktor-faktor yang mempengaruhinya. 'Exit Policy' yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah satu untuk mengecilkan jumlah penjawat awam. Pada masa ini walau berprestasi rendah namun kita masih lagi boleh menikmati kenaikkan gaji. Ada diantara kita bukan mendapat prestasi yang rendah kerana tidak membuat kerja. Ada juga diantara kita yang berprestasi tinggi bukan kerana kerjanya yang cemerlang. Bukan semua yang menerima anugerah khidmat cemerlang itu benar-benar layak untuk mendapatkannya. Ada ketua jabatan pula mengamalkan sistem kuota. Ada juga ketua jabatan yang mengamalkan sikap pilih kasih. Dan ada juga ketua jabatan yang suka mendengar khabar angin.

Isu yang ingin saya bincangkan adalah sejauh mana ketelusan seorang ketua jabatan yang akan menilai prestasi setiap anggota bawahan beliau. Rumor mengatakan dalam SBPA ini sekiranya kita tidak mencapai markah prestasi diatas 70% maka kerajaan bakal mengemukakan cadangan 'Exit Policy'. Ini bermakna secara lembutnya kerajaan menawarkan kita untuk berhenti berkhidmat dengan kerajaan. Inilah masalah dan kesan yang bakal timbul dikemudian hari.

Kebanyakkan ketua jabatan ini adalah terdiri dari manusia dan bukan dewa, bukan malaikat, bukan syaitan dan bukan juga binatang. Tetapi segelintirnya sebagaimana yang saya tulis diatas. Ketiadaan sikap PROFESIONALISME seseorang ketua jabatan akan menyebabkan kebarangkalian untuk penjawat awam mendapat perkenan 'Exit Policy' begitu tinggi. Ini kerana amat jelas sekali bahawa kuasa memberi markah prestasi berada ditangan mereka. Jika benar seseorang penjawat awam itu berprestasi rendah memang wajarlah ditunjukkan jalan keluar kepada mereka. Tetapi bagi yang teraniaya dimanakah jalan hala tuju untuk mereka ini mengadu?

Rakan-Rakan Pembantu Tadbir Sekalian,

Tony Pua jelas dan amat terang mengatakan apabila pakatan rakyat memerintah mereka bercadang untuk mengurangkan jumlah penjawat awam. Ini adalah satu keterangan yang jelas. DSN mencadangkan satu sistem baru untuk penjawat awam dengan kenaikkan gaji yang tinggi namun disebaliknya ada 'Exit Policy'. Jika kita melihat kepada isu dan isu tersurat maka sebenarnya tujuan tetap sama kearah mengurangkan bilangan penjawat awam. Man Power untuk melaksanakan hasrat tersebut adalah Ketua Jabatan.

Apabila kita selepas ini selesai menandatangani option SBPA maka secara tidak langsung kita akan begitu gembira menikmati gaji baru yang lebih tinggi. Dalam pada masa yang sama sebelah kaki kita sebenarnya berada diluar perkhidmatan awam. SBPA telah menunjukkan satu jalan keluar yang mudah. Ini lah perkara yang amat saya risaukan terutama kepada penjawat awam yang bukan kaki bodek dan kaki kipas.

Saya amat berharap, sekiranya benar rumor ini pihak kesatuan segera mengambil langkah bagi mengelakkan perkara yang tak diingini berlaku. Telah jelas dan amat terang sekali terdapat pihak yang amat berkuasa menentukan markah prestasi seseorang penjawat awam. Pihak yang boleh dibeli akan bertambah dan pihak yang teraniaya juga bakal bertambah. Sekiranya tidak dibendung perkara ini, maka kita akan melihat ramai penjawat awam akan kehilangan periuk nasi.

Sekian.

Thursday 24 November 2011

Dari Mahkamah Tinggi


Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memutuskan kesatuan sekerja menikmati imuniti mutlak daripada disaman di bawah Akta Kesatuan Sekerja 1959.
  
Hakim Datuk V.T.Singham berkata Seksyen 22(1) akta itu memberikan perlindungan kepada kesatuan sekerja daripada mana-mana saman yang difailkan di mahkamah, malahan jika pun, wakil kesatuan telah memfitnah pihak satu lagi(majikan).
  
"Mungkin sudah tiba masanya bagi penggubal undang-undang untuk menimbangkan secara serius sama ada perbuatan fitnah tort, jika dilakukan oleh atau mewakili pihak kesatuan sekerja dan malahan jika ia dilakukan ketika sedang dipertimbangkan atau pelanjutan pertikaian sekerja, patut diberikan perlindungan imuniti seperti di bawah Seksyen 21 dan Seksyen 22 akta itu," katanya.
  
Hakim Singham juga berkata adalah sangat jelas di bawah seksyen itu bahawa mahkamah tidak sepatutnya melayani sebarang saman terhadap kesatuan sekerja.
  
Oleh yang demikian, beliau menolak saman fitnah yang dikemukakan oleh Malayan Banking Bhd (Maybank) terhadap Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) dan setiausaha agungnya J.Sandagran Solomon.
  
Hakim Singham membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan NUBE untuk membatalkan saman itu atas alasan  mereka mempunyai imuniti mutlak sebagai kesatuan sekerja mengikut Seksyen 22(1) akta itu.
  
Beliau juga memerintahkan Maybank membayar RM15,000 sebagai kos kepada para defendan.
  
Maybank memfailkan saman itu pada 22 April tahun ini, mendakwa Solomon, bertindak mewakili dirinya sendiri dan NUBE, pada Februari atau Mac tahun ini telah menerbitkan artikel mengandungi kenyataan berbaur fitnah mengenai syarikat itu dalam lamanweb NUBE.
  
Ia mendakwa kenyataan itu bermaksud plaintif telah menjalankan hal ehwalnya secara tidak amanah dengan mahu menggunakan dananya untuk manfaat pengurusan kanannya sahaja dengan meminggirkan pekerjanya.
  
Para defendan menyatakan kenyataan itu berkaitan dengan pertikaian yang sedang berlaku di antara plaintif dan NUBE berhubung dakwaan pemberian bonus yang kurang kepada staf peringkat bawahan syarikat itu.
  
Mereka berkata pertikaian itu telah berlarutan sejak 2009 dan berterusan sehingga sekarang.

- Bernama

Kesatuan Sekerja Ada Imuniti Dari Sebarang Tindakan Saman

Sekian lama setelah bertahun-tahun masih ada lagi pembantu tadbir yang tidak menyertai kesatuan. Kebanyakkan pembantu tadbir yang tidak menyertai kesatuan memberi alasan bahawa seolah-olah kesatuan tidak membantu mereka dalam apa jua perkara. Hakikatnya pemberian elaun BITK kepada PT kewangan juga merupakan satu hasil dari perjuangan kesatuan.

Pada hari ini saya ingin menyentuh berkenaan tindakan tatatertib terhadap mana-mana pembantu tadbir. Untuk makluman, saya merupakan antara pembantu tadbir yang sering menjadi mangsa kerakusan pihak atasan. Diatas keberanian saya mencabar mereka ini, saya kerap bertukar. Hakikatnya saya tidak mahu mengambil tindakan memandangkan pertukaran itu juga memberi kebaikkan kepada saya.

Mengulas lanjut berkaitan tindakan saman, pada hari ini Hakim Datuk V.T Singham berkata bahawa kesatuan sekerja mempunyai immuniti dari mana-mana saman dibawah seksyen 22(1) akta kesatuan sekerja. Dalam hujahan alasan bagi kes Maybank lwn NUBE, beliau menyatakan bahawa tidak ada mana-mana pihak boleh mengambil sebarang tindakan atau saman terhadap mana-mana kesatuan sekerja.

Dari pada kenyataan tersebut, ramai dikalangan kita tidak sedar keupayaan sesebuah kesatuan untuk mengambil sebarang tindakan terhadap majikan termasuk kementerian kesihatan sekali. Dalam peraturan-peraturan kesatuan juga ada menyatakan bahawa kesatuan boleh menyediakan peguam untuk membela mana-mana ahli yang dikenakan tindakan tatatertib. Ini adalah fakta dan setiap ahli berhak untuk mengetahui dan menggunakan sepenuhnya perkhidmatan ini. Namun demikian, saya amat memahami masalah kewangan bagi membiayai peguam merupakan salah satu halangan untuk berbuat demikian.

Untuk pengetahuan semua, ada dikalangan kita juga yang tidak berpuas hati dengan markah prestasi. Pertikaian ini merupakan masalah yang serius kerana markah prestasi merupakan faktor kenaikkan pangkat dan sebagainya. Penganiayaan yang sering dilakukan oleh pegawai atasan ini merencatkan bilangan pembantu tadbir yang layak untuk kenaikkan pangkat. Seharusnya pegawai yang berkenaan mengambil peluang seperti ini untuk mencabar keputusan pegawai atasan tersebut di mahkamah melalui kesatuan.

Hanya melalui kesatuan pembantu tadbir yang ingin mencabar mana-mana keputusan yang beliau tidak berpuas hati boleh mengemukakan dikamar hakim. Pihak majikan tidak boleh mengenakan apa-apa jua tindakan tatatertib terhadap pegawai berkenaan kerana dilindungi sepenuhnya oleh akta kesatuan sekerja. Jika mereka masih mengambil tindakan, mereka adalah salah kerana yang membawa kes tersebut adalah kesatuan dan bukan individu. Dalam masa yang sama, mereka juga seolah-olah telah menghina undang-undang negara kerana jelas termaktub ahli setiap kesatuan sekerja boleh membuat aduan kepada kesatuan berkenaan pertikaian yang berlaku diantara ahli dan majikan. Maka tidak ada sebarang sebab munasabah yang membolehkan pegawai yang mengadu diambil tindakan tatatertib.

Saya sekali lagi mengingatkan kepada semua pembantu tadbir supaya segera menyertai kesatuan. Pekeliling baru SBPA amat jelas menggambarkan betapa kerajaan kini akan mengambil langkah serius untuk menyingkirkan pegawai yang berprestasi rendah. Hakikatnya jika benar pegawai tersebut berprestasi rendah wajarlah beliau disingkirkan. Namun bagi yang seringkali teraniaya maka itu adalah satu masalah yang serius.

Sehubungan dengan itu, saya menyeru semua pembantu tadbir di seluruh Malaysia supaya segera menyertai kesatuan demi masa depan isteri dan anak tercinta. Semoga semua ahli kesatuan juga turut sedar keistimewaan yang telah diberikan oleh undang-undang terhadap kesatuan sekerja. Saya juga amat berharap supaya kesatuan KEPTAKES berusaha untuk menyediakan perkhidmatan ini dalam usaha transformasi untuk keadilan semua ahlinya.

Sekian, terima kasih.

Roshidi Bin Ahmad Ismail
Penolong Setiausaha,
Kesatuan Pembantu Tadbir Kesihatan Semenanjung Malaysia,
Cawangan Negeri Perak.

Karenah Birokrasi Membuat Pinjaman Dalam Perkhidmatan Awam

Hari ini saya telah membuat keputusan untuk memohon pinjaman dengan kuwait finance. Saya berasa terlalu marah kerana terlalu banyak karenah birokrasi dikalangan pegawai-pegawai atasan untuk membenarkan potongan gaji. Bukan duit mereka yang saya ingin pinjam, tetapi duit bank dan bukan juga duit gaji mereka yang dipotong, tetapi gaji saya sendiri. Kerajaan melalui bank negara dibawah akta perbankan telah menetapkan setiap penyedia pinjaman kewangan berlesen wajib mematuhi potongan tidak boleh melebihi 60% potongan gaji pegawai.

Saya melihat perkara ini tidak difahami oleh pegawai atasan. Ini adalah satu perkara yang serius memandangkan mereka ini dari golongan terpelajar. Namun gagal memahami undang-undang negara sendiri sedangkan mereka terdiri daripada Pegawai Tadbir & Diplomatik.

Saya selaku penolong setiausaha kepada kesatuan memandang serius tentang perkara ini. Suatu tindakan sewajarnya diambil oleh ketua jabatan untuk memahami undang-undang seperti ini. Kita harus tahu bukan semua penjawat awam mendapat gaji 100% bersih dari sebarang potongan. Kehidupan di Malaysia tidak boleh lari dari masalah hutang. Membeli rumah terpaksa berhutang, membeli kereta pun perlu berhutang malahan ada juga yang membeli tv melalui bantuan kewangan AEON credit. Ini adalah fakta. Ini adalah Fakta. Ini adalah Fakta. Sesiapa yang menafikan fakta ini adalah seorang yang penipu besar dan wajib disingkirkan.

Dalam akta perbankan negara telah termaktub undang-undang tersebut. Setiap penjawat awam berhak untuk membuat pinjaman dari mana-mana pihak yang berlesen. Ini adalah hak asasi setiap manusia. Selagi tidak bertentangan dengan mana-mana undang-undang, tidak ada seorang pun yang boleh menghalang. Perlembagaan 13 telah menerangkan bahawa tidak ada sesiapa boleh menghalang mana-mana pihak menggunakan hartanya dengan sesuka hati selagi tidak bertentangan dengan undang-undang.

Persoalan yang ingin saya bangkitkan mengapa masih ada pegawai atasan seperti PTD ini berani menghalang pegawai bawahan membuat pinjaman. Bukankah ini telah melanggar dua undang-undang negara dibawah akta perbankan dan perlembagaan Malaysia. Pihak bank tidak bodoh untuk meluluskan mana-mana pinjaman yang berkelayakkan. Tetapi pihak majikan lebih-lebih untuk menggagalkan niat penjawat awam.

Bagi yang pernah merasai pengalaman seperti saya, saya nasihatkan satu laporan polis dibuat berkenaan perkara tersebut. Ini kerana melanggar kedua-dua akta berkenaan juga merupakan satu kesalahan jenayah. Jelas dan amat terang pegawai atasan yang tidak membenarkan pegawai bawahan yang berkelayakkan telah melakukan satu kesalahan jenayah kerana menghalang pegawai bawahan menggunakan harta mereka.

Saya amat berharap artikel ini dapat memberi kesedaran kepada mana-mana pihak yang ingin membuat permohonan pinjaman selepas ini. Sekiranya mempunyai masalah dan memerlukan khidmat nasihat saya sedia membantu.

Sekian, terima kasih.
Roshidi Bin Ahmad Ismail
Penolong Setiausaha,
Kesatuan Pembantu Tadbir Kesihatan Semenanjung Malaysia,
Cawangan Perak.