Total Pageviews

Wednesday 14 December 2011

SBPA : Kerajaan Memaksa, Penjawat Awam Terpaksa.

Hari ini saya telah menelaah SBPA satu per satu. Beberapa klausa dalam SBPA telah saya minit dalam buku harian saya. Setelah membaca keseluruhan tafsiran pekeliling tersebut maka disini saya ingin membincangkan perkara-perkara yang menarik minat.

Dalam klausa 40 berkaitan dengan Pergerakkan Gaji Tahunan, kerajaan telah menetapkan bahawa setiap pegawai yang berprestasi rendah dibawah 69% tidak akan mendapat kenaikan gaji tahunan. Sememangnya dalam SSM markah prestasi tidak berkait rapat dengan kenaikkan gaji tahunan. PT sumber masih boleh menyediakan KEW 8 diawal tahun lagi. Namun demikian setelah SBPA diperkenalkan, semuanya terikat dengan kaedah-kaedah yang terkandung.

Bagi menggambarkan ketelusan kerajaan terhadap penjawat awam, markah nilaian prestasi ini dinilai melalui penggunaan kaedah pelbagai penilai, KPI dan Laporan Penilaian Prestasi Tahunan. Sepanjang tempoh perkhidmatan saya sebagai PT, saya tidak pernah diarah oleh mana-mana penyelia saya untuk menyediakan Sasaran Kerja Tahunan. Saya juga yakin ramai PT diluar sana berkeadaan sedemikian. Ini adalah hakikat kerana tugas sebagai PT, kita tidak boleh mengira kuantiti dan volume tugas yang bakal kita hadapi. Namun demikian, berikutan markah nilaian prestasi menjadi asas kepada Pergerakkan Gaji Tahunan maka mulai 2012 setiap PT disaran menyediakan sasaran kerja tahunan dan KPI sendiri. Pastikan setiap sasaran dan KPI dibaca dan ditandatangani oleh penyelia sebagai persetujuan. Ini adalah untuk mengelakkan berlaku pertikaian pada masa menyemak semula sasaran tersebut. Perkara ini dinyatakan dalam Klausa 65 bab Penilaian Prestasi.

Bagi pegawai yang berprestasi rendah, kerajaan akan memberi 3 peluang bagi membuktikan kesahihan prestasi tersebut. Bagi mengelakkan penjawat awam teraniaya, maka pegawai awam yang berprestasi rendah akan dinilai semula oleh panel berkecuali. Kaedah-kaedah yang bakal digunakan termasuklah menukar pegawai tersebut ke jabatan / agensi lain serta mengubah penyelia yang menyelia. Di bawah klausa 67 Dasar Pemisah, penjawat awam yang berprestasi rendah yang tiada peluang kemajuan serta pegawai yang menghadapi masalah kesihatan yang menjejaskan keupayaan menjalankan tugas disediakan laluan untuk berhenti secara terhormat. Namun demikian saya tidak pasti sama ada klausa ini terpakai atau tidak terhadap OKU. Klausa ini seolah-olah menidakkan peluang pekerjaan terhadap OKU dan seharusnya JPA memandang serius berkenaan perkara ini.

Sejajar dengan hasrat kerajaan 1Malaysia yang mengambil berat masalah rakyat, penjawat awam yang dibersarakan atas dasar pemisah tidak dikecualikan dari menerima faedah pencen. Mereka akan dibayar sebagaimana pesara kerajaan bersara. Tempoh sepanjang perkhidmatan diambil kira. Perkara ini termaktub dibawah klausa 73.

Bagi penjawat awam yang memilih untuk bersara awal, bayaran pencen akan mula dikeluarkan setelah mencapai umur 55 tahun. Namun demikian, perkara ini dipanjangkan kepada mereka yang dilantik selepas 12 April 1991. Perkara ini dijelaskan dibawah klausa 72.

Dalam klausa 89, saya mengaitkan perkara ini dengan usaha kesatuan untuk menaik taraf jawatan pembantu tadbir. Perkara ini adalah satu berita gembira dimana memberi laluan kepada penjawat awam yang tidak berkelayakkan tinggi menjawat jawatan tersebut. Dalam klausa ini tempoh pengalaman kerja diambil kira bagi menggantikan kelayakkan akademik seseorang penjawat awam. Sekiranya jawatan PT dijumudkan ke Penolong Pegawai Tadbir, maka secara tidak langsung sesiapa yang tidak mempunyai Diploma atau STPM turut berkelayakkan untuk menjawat jawatan tersebut berdasarkan tempoh pengalaman kerja.

Pada saya sememangnya banyak kebaikkan dalam SBPA ini. Namun demikian, bagi pihak-pihak tertentu masih ada ruang dan jalan memanipulasikan keadaan bagi menganiaya pihak-pihak tertentu. Ketirisan dan kebocoran ini lah menjadi duri dalam daging untuk penjawat awam menerima SBPA ini.

Dalam klausa 93 walaupun seseorang penjawat awam menolak SBPA, namun hakikatnya hanya emolumen sahaja yang berbeza dari segi upah kerja. Segala kaedah dalam SBPA terpakai untuknya. Perkara ini jelas menunjukkan sikap kerajaan yang benar-benar memaksa setiap penjawat awam untuk menerima SBPA.

Kesimpulan yang dapat saya buat menerusi perkara-perkara diatas adalah seperti berikut :

1. Setiap PT mulai dari sekarang perlu menyediakan SKT diawal tahun dan diperakukan oleh penyelia. Ini kerana SKT akan menjadi bukti pencapaian kita yang sebenarnya. Maka jika masih mendapat prestasi rendah, telah wujud satu pertikaian tred diantara pekerja dan majikan.

2. Dasar pemisah merupakan satu jalan bagi ketua jabatan untuk memecat mana-mana anggota yang tidak disukai. Walaupun kerajaan memperkenalkan panel berkecuali namun tidak mustahil panel-panel ini 'buyers'. Sehubungan dengan itu saya mengusulkan kepada kesatuan untuk meluluskan Peraturan 1(f) dalam peraturan-peraturan kesatuan berkuat kuasa serta merta.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.