Total Pageviews

Thursday 24 November 2011

Kesatuan Sekerja Ada Imuniti Dari Sebarang Tindakan Saman

Sekian lama setelah bertahun-tahun masih ada lagi pembantu tadbir yang tidak menyertai kesatuan. Kebanyakkan pembantu tadbir yang tidak menyertai kesatuan memberi alasan bahawa seolah-olah kesatuan tidak membantu mereka dalam apa jua perkara. Hakikatnya pemberian elaun BITK kepada PT kewangan juga merupakan satu hasil dari perjuangan kesatuan.

Pada hari ini saya ingin menyentuh berkenaan tindakan tatatertib terhadap mana-mana pembantu tadbir. Untuk makluman, saya merupakan antara pembantu tadbir yang sering menjadi mangsa kerakusan pihak atasan. Diatas keberanian saya mencabar mereka ini, saya kerap bertukar. Hakikatnya saya tidak mahu mengambil tindakan memandangkan pertukaran itu juga memberi kebaikkan kepada saya.

Mengulas lanjut berkaitan tindakan saman, pada hari ini Hakim Datuk V.T Singham berkata bahawa kesatuan sekerja mempunyai immuniti dari mana-mana saman dibawah seksyen 22(1) akta kesatuan sekerja. Dalam hujahan alasan bagi kes Maybank lwn NUBE, beliau menyatakan bahawa tidak ada mana-mana pihak boleh mengambil sebarang tindakan atau saman terhadap mana-mana kesatuan sekerja.

Dari pada kenyataan tersebut, ramai dikalangan kita tidak sedar keupayaan sesebuah kesatuan untuk mengambil sebarang tindakan terhadap majikan termasuk kementerian kesihatan sekali. Dalam peraturan-peraturan kesatuan juga ada menyatakan bahawa kesatuan boleh menyediakan peguam untuk membela mana-mana ahli yang dikenakan tindakan tatatertib. Ini adalah fakta dan setiap ahli berhak untuk mengetahui dan menggunakan sepenuhnya perkhidmatan ini. Namun demikian, saya amat memahami masalah kewangan bagi membiayai peguam merupakan salah satu halangan untuk berbuat demikian.

Untuk pengetahuan semua, ada dikalangan kita juga yang tidak berpuas hati dengan markah prestasi. Pertikaian ini merupakan masalah yang serius kerana markah prestasi merupakan faktor kenaikkan pangkat dan sebagainya. Penganiayaan yang sering dilakukan oleh pegawai atasan ini merencatkan bilangan pembantu tadbir yang layak untuk kenaikkan pangkat. Seharusnya pegawai yang berkenaan mengambil peluang seperti ini untuk mencabar keputusan pegawai atasan tersebut di mahkamah melalui kesatuan.

Hanya melalui kesatuan pembantu tadbir yang ingin mencabar mana-mana keputusan yang beliau tidak berpuas hati boleh mengemukakan dikamar hakim. Pihak majikan tidak boleh mengenakan apa-apa jua tindakan tatatertib terhadap pegawai berkenaan kerana dilindungi sepenuhnya oleh akta kesatuan sekerja. Jika mereka masih mengambil tindakan, mereka adalah salah kerana yang membawa kes tersebut adalah kesatuan dan bukan individu. Dalam masa yang sama, mereka juga seolah-olah telah menghina undang-undang negara kerana jelas termaktub ahli setiap kesatuan sekerja boleh membuat aduan kepada kesatuan berkenaan pertikaian yang berlaku diantara ahli dan majikan. Maka tidak ada sebarang sebab munasabah yang membolehkan pegawai yang mengadu diambil tindakan tatatertib.

Saya sekali lagi mengingatkan kepada semua pembantu tadbir supaya segera menyertai kesatuan. Pekeliling baru SBPA amat jelas menggambarkan betapa kerajaan kini akan mengambil langkah serius untuk menyingkirkan pegawai yang berprestasi rendah. Hakikatnya jika benar pegawai tersebut berprestasi rendah wajarlah beliau disingkirkan. Namun bagi yang seringkali teraniaya maka itu adalah satu masalah yang serius.

Sehubungan dengan itu, saya menyeru semua pembantu tadbir di seluruh Malaysia supaya segera menyertai kesatuan demi masa depan isteri dan anak tercinta. Semoga semua ahli kesatuan juga turut sedar keistimewaan yang telah diberikan oleh undang-undang terhadap kesatuan sekerja. Saya juga amat berharap supaya kesatuan KEPTAKES berusaha untuk menyediakan perkhidmatan ini dalam usaha transformasi untuk keadilan semua ahlinya.

Sekian, terima kasih.

Roshidi Bin Ahmad Ismail
Penolong Setiausaha,
Kesatuan Pembantu Tadbir Kesihatan Semenanjung Malaysia,
Cawangan Negeri Perak.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.