Total Pageviews

Sunday 26 June 2011

Tuntutan Cuepacs Relevan, Bersama Kita Menyokong

CUEPACS MINTA KENAIKAN PANGKAT SELEPAS KURSUS

Bernama
2011/06/19



ALOR SETAR: Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) menuntut agar di bawah Sistem Bersepadu Potensi Penjawat Awam (PROSPEK), penjawat awam terus mendapat kenaikan pangkat selepas menghadiri kursus tanpa perlu menunggu berlaku kekosongan jawatan.

"Kita membantah jika kenaikan pangkat hanya diberi apabila terdapat kekosongan jawatan kerana objektif PROSPEK tidak tercapai. Apabila pulang dari berkursus mereka hendaklah dinaikkan pangkat," kata Presiden CUEPACS, Datuk Omar Osman. Beliau berkata, CUEPACS juga menuntut pemberian insentif kepada penjawat awam dinaikkan terus kepada tiga kenaikan. "Dulu masa ada PTK (Penilaian Tahap Kecekapan), kita ada aras melintang dan menegak tapi dalam PROSPEK konsep melintang dan menegak tiada. Jadi kita mahu ia digantikan dengan tiga kenaikan, baru ada perubahan," katanya kepada pemberita semasa menghadiri mesyuarat agung Kesatuan Pegawai-Pegawai RISDA Kedah di sini hari ini.


Beliau berkata, CUEPACS sudah mengadakan perbincangan dengan Ketua Setiausaha Negara berhubung pelaksanaan PROSPEK.

Katanya, terdapat beberapa perkara yang tidak disentuh dan perlu dimasukkan dalam PROSPEK supaya terdapat perubahan lebih baik berbanding PTK.
"Antara permintaan lain CUEPACS ialah pelantikan panel berwibawa bagi membuat penilaian terhadap penjawat awam selain dua pegawai mewakili kesatuan sekerja supaya penilaian yang dibuat lebih adil dan saksama," katanya.

Omar juga berkata, CUEPACS tegas dengan tuntutannya mengenai penyelarasan elaun sara hidup kepada RM300 untuk semua penjawat awam dan imbuhan tetap perumahan dinaikkan kepada RM350 dari RM180. - BERNAMA 
 
Catatan.
Kita sebagai penjawat awam telah mengetahui bahawa prospek akan menggantikan PTK. Prospek ini adalah salah satu jalan untuk kenaikkan pangkat. Tujuan Prospek adalah jelas iaitu ketelusan. 

Saya melihat tuntutan cuepacs adalah amat relevan sekali. Kehadiran wakil kesatuan dalam panel penilaian bertepatan dengan tujuan Prospek iaitu ketelusan. Selama ini, ruang-ruang penyelewengan oleh gerombolan peringkat atasan terlalu besar. Ruang-ruang ini digunakan secara maksima oleh mereka bagi menyatakan kekuasaan besar mereka. Sebagai contoh, kita lihat dari segi 'Anugerah Perkhidmatan Cemerlang'. Kebanyakkan yang dipilih merupakan anggota yang tidak berkelayakkan untuk mendapat anugerah tersebut. Perkara ini berlaku kerana ada ketua jabatan mengamalkan prinsip pilih kasih, mengikut kuota dan lain-lain lagi. Inilah yang saya katakan ruang bagi membuat satu keputusan. Persoalan ialah sejauh mana seorang ketua jabatan itu boleh menerima kehadiran wakil kesatuan dalam panel penilaian.

Mesyuarat bersama jabatan boleh menjadi salah satu contoh reaksi seorang ketua jabatan dengan wakil kesatuan. Kita sedia maklum bahawa minda seorang ketua jabatan terhadap kesatuan adalah persepsi mereka bahawa ahli kesatuan suka menentang.  Ketua jabatan juga sering kali berasa was-was dengan tahap keterbukaan sesebuah kesatuan.

Kehadiran wakil kesatuan dalam Prospek akan mengundang spekulasi ini. Sekiranya wakil kesatuan yang terdiri dari kumpulan pengurusan dan profesional, maka keputusan yang biasanya akan dibuat akan lebih berhati-hati. Namun apabila melibatkan kumpulan sokongan terutama sokongan 2, keputusan yang akan dibuat berkemungkinan mempunyai sifat-sifat diskriminasi. 

Tuntutan cuepacs supaya panel penilaian Prospek mesti terdiri dari wakil jabatan dan wakil kesatuan adalah relevan sekali. Malahan perkara ini sepatutnya dipanjangkan ke lain-lain panel seperti kenaikkan pangkat, gaji dan Lembaga Tatatertib. 

Saya ingin menyentuh berkenaan dengan Lembaga Tatatertib dimana sepanjang pengalaman saya, kakitangan awam yang melakukan kesalahan tidak dibenarkan membela diri semasa Ahli Lembaga Tatatertib bersidang. Prosedur biasa yang dibuat adalah dengan memberi ahli masa selama 14 hari untuk menjawab pertuduhan yang dibacakan pada anggota. Kebiasaanya juga pertuduhan yang dilemparkan tidak disertakan dengan bukti dan prima facie yang kukuh tentang dakwaan. Semasa dalam perbicaraan, tertuduh tidak dibenarkan membawa mana-mana pihak untuk membela beliau. Perkara ini bercanggah dengan sistem demokrasi kerana pesalah tidak dibenarkan membela diri semasa perbicaraan. Pesalah hanya boleh membela diri melalui surat dimana kadang-kadang terdapat salah penafsiran ayat dalam surat yang dibuat terutama golongan yang tidak pakar mengenai bahasa. Sewajarnya penjawat awam yang dikenakan tatatertib boleh membawa seorang wakil kesatuan sebagai peguambela semasa perbicaraan diadakan bagi mewujudkan sistem yang lebih adil dan saksama.

Tuntutan cuepacs yang seterusnya adalah mengenai kenaikkan pangkat setelah berkursus. Perkara ini telah wujud dalam sistem Kementerian Pertahanan. Jika kita melihat ada prebet yang kini telah bergelar Mejar tanpa memegang sebarang diploma atau ijazah. Sistem mereka lebih kepada pengalaman dan seniority. Mereka diajar melalui kursus-kursus jangka pendek dan jangka panjang untuk kenaikkan pangkat.

Dalam sektor perkhidmatan awam dalam bidang pengkeranian operasi, setiap pembantu tadbir telah amat mahir dalam bidang pengurusan pentadbiran dan kewangan. Tugas harian yang dilaksanakan memberi pengalaman dan pengetahuan yang boleh dijadikan asas kenaikkan pangkat. Dalam PTK sebelum ini, kita dapat melihat prestasi PT dalam kertas khusus lebih memberangsangkan berbanding kertas am. Perkara ini berlaku kerana tugas-tugas tersebut telah menjadi satu budaya kerja sebagai Pembantu Tadbir. Dengan keperluan berpengetahuan dalam Perintah AM, Arahan Perbendaharaan dan Pekeliling-Pekeliling, maka adalah menjadi satu 'advantage' golongan PT diberi keistimewaan untuk kenaikkan pangkat sehingga ke tahap N54. Ini kerana penguasaan dalam perkara-perkara yang disebutkan tadi merupakan asas kepada kumpulan yang merancang. Tanpa asas tersebut, perancangan sesuatu pekerjaan tidak disempurnakan memandangkan pentafsiran sesuatu undang-undang tidak bertepatan dengan kehendak yang sebenar. Sebagai contoh dalam pentafsiran Tatacara Pengurusan Aset. Kumpulan pengurusan dan profesional menganggap tugas-tugas tersebut seharusnya dilakukan oleh kumpulan sokongan dan sebaliknya. Namun hakikat telah jelas dan amat terang sekali bahawa Pegawai Aset yang dilantik dari kumpulan Sokongan 1 keatas adalah bertanggungjawab sepenuhnya. Perbezaan pendapat ini akan menyebabkan kertidak harmonian sesuatu jabatan. 

Berasaskan perkara diatas, tindakan memberi peluang kenaikkan pangkat kepada PT tanpa memerlukan seseorang PT mendapatkan diploma atau ijazah adalah sangat-sangat relevan. Kerajaan sewajarnya sedar bahawa tugas-tugas harian seorang PT telah mengajar kemahiran dan pengalaman yang tidak dapat diajar oleh mana-mana Pensyarah di mana-mana Universiti. 

Sehubungan dengan itu, tuntutan cuepacs ini adalah relevan dan sebagai penjawat awam kita harus menyokong tuntutan tersebut.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.