Total Pageviews

Tuesday 26 July 2011

Muhasabah Diri Di Bulan Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia.

Segala puji-pujian kepada Allah s.w.t dan syukur atas segala limpah kurniaNya maka pada hari ini saya masih lagi boleh mencoret tulisan dalam blog ini. Rezeki yang berkat membawa kepada hidup yang diberkati. Kehadiran bulan yang berkat Al-Ramadhan Al-Mubaruk ini amat-amat dinanti oleh orang-orang yang beriman dalam mendekatkan lagi diri dengan Tuhan Pencipta Alam.

Sesungguhnya dalam bulan Ramadhan itu kita melihat banyak kebaikkan dimana kita disuruh berpuasa. Bukan sahaja puasa dari menahan lapar dan dahaga bahkan puasa dari semua aspek termasuk fizikal dan mental. Pada bulan yang diberkati Allah ini, kita diperintahNya supaya mengawal nafsu Amarah. Nafsu Amarah ini merupakan martabat pertama yang wajib bagi setiap umat Islam menghapuskan. Bermula seawal Ramadhan, jika sebelum ini kita bangun tidur pada pukul 6.00 pagi maka kini kita bangun lebih awal sedikit untuk mendapatkan berkat Rabbul Alamin untuk bersahur dan seterusnya bolehlah kita mengerjakan sembahyang subuh berjemaah. Sesungguhnya orang-orang Islam yang berjaya melakukan sembahyang subuh berjemaah di masjid, maka baginya satu kemenangan yang amat besar. Allah menghidupkan cahaya dalam hati-hati mereka dan pada hari pembalasan kelak mereka akan diberikan cahaya dalam kegelapan.


Sepanjang hari berpuasa, bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, malah kita ditegah melakukan perkara-perkara mazmummah. Kita harus ingat bahawa pekerjaan yang kita lakukan sebagai Pembantu Tadbir tidak kira dimana adalah merupakan satu Ibadah. Allah memerintahkan semua manusia dalam dunia ini mencari rezeki yang dikurniakan olehNya melalui sifatnya Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Bagi umat Islam tentulah lebih baik lagi kerana selain mendapat rezeki yang halal, Allah memberi ganjaran pahala yang besar. Ditambah pula dalam keadaan berpuasa maka berganda-ganda pahala yang Allah berikan. Dari yang demikian, untuk mendapatkan keberkatan dalam Ibadah Pekerjaan, maka wajib bagi kita berwaspada supaya setiap perbuatan dalam pekerjaan itu seharusnya tidak lari dari prinsip kerana Allah semata-mata.

Setiap kali kita solat maka kita telah berikar, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah semata-mata. Jadi adalah wajib kepada setiap Insan yang beragama Islam menunaikan ikrarnya kepada Allah. Maka jika kita gagal, tidak sempurnalah iman kita.

Bertitik tolak dari situ, dalam bulan Ramadhan ini, marilah kita bersama-sama muhasabah diri kita sejauh mana kita mampu mengatasi nafsu amarah kita. Semoga Allah memberkati segala amalan kita dan menjauhkan kita dari azab seksa api neraka.

Sekian.

Roshidi Bin Ahmad Ismail
Penolong Setiausaha
Kesatuan Pembantu Tadbir Cawangan Perak.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.