Total Pageviews

Saturday 9 July 2011

Terima Kasih Pengundi

Saya amat bersyukur pada hari ini kerana telah diangkat menjawat jawatan Penolong Setiausaha bagi kesatuan cawangan. Kemenangan ini pada saya amat besar maknanya. Walaupun pada asalnya target saya adalah untuk bertanding merebut kerusi Timbalan Pengerusi, nampak nya rezeki saya untuk jawatan tersebut masih belum sampai lagi.

Pada hakikatnya, saya melihat kemenangan ini memberi gambaran bahawa ahli ingin satu perubahan baru. Iaitu mahukan kesatuan lebih agresif dan lebih terbuka disamping melaksanakan amanah dari ahli dengan prinsip keadilan. Sebelum ini telah saya nyatakan prinsip saya iaitu KEADILAN untuk PT.

Tidak dinafikan sebelum ini, pegawai-pegawai kesatuan yang dilantik berjuang untuk PT dengan ikhlas. Namun demikian, idea yang disumbangkan tidak sampai ke peringkat akar umbi. Apabila tertubuhnya FB KEPTAKES, maka ia telah menjadi satu saluran maklumat yang penting bagi ahli untuk mendapatkan maklumat. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada PT yang berada di JOHOR, kerana mereka adalah yang pertama sekali memperkenalkan FB kesatuan dimana hasil kerja Saudara Khairul dan kumpulannya. Mereka yang memulakan idea penubuhan FB bagi menyalurkan maklumat kepada ahli. Sumbangan mereka ini seharusnya diberi satu penghargaan. Bertitik tolak dari situ, bermulalah era baru dalam kesatuan.

Saya juga tidak melupakan peranan MOHCUBE sebagai salah satu cabang untuk bersuara. Sebelum ini, saya telah banyak menulis tentang kritikan saya kepada kesatuan dalam ruangan Forum yang disediakan dalam MOHCUBE. Saya melihat kesatuan pada ketika itu telah lari dari tujuan penubuhannya. Sebagai ahli, saya juga tidak terkecuali dari terpinggir untuk menerima sebarang maklumat aktiviti yang dijalankan sehingga membawa kepada aduan-aduan di Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja yang mampu menggugat kesatuan negeri perak. Sayugia diingatkan bahawa tujuan saya pada ketika itu hanya sekadar memberi 'amaran' kepada kesatuan supaya lebih telus mengikut undang-undang yang ditetapkan dan tidak pula saya berniat untuk merosakkan gabungan itu. Buktinya aduan yang saya lakukan hanya berkaitan dengan pengedaran buku peraturan. Sekiranya saya berniat untuk merobohkan kesatuan itu, maka ada isu yang lebih besar boleh diutarakan.

Pengedaran buku peraturan kepada ahli merupakan satu perkara yang amat penting. Tujuan buku ini adalah untuk memaklumkan kepada setiap ahli mengenai peraturan yang perlu diikuti dan tujuan berkesatuan. Ini bermakna setiap perkara yang berlaku hendaklah dirujuk kembali dalam buku tersebut.

Setelah menyelami buku tersebut maka timbullah satu perasaan sayang kepada kesatuan. Hakikat penubuhan kesatuan itu sangat murni. Tetapi pembawakkan ajk-ajk telah mengecundangkan tujuan asal. Namun demikian, perubahan telah mula kelihatan dibawah pimpinan pengerusi Pn Rosnah. Saya melihat beliau seorang yang terbuka dan mampu menerima kritikan.

Kemenangan saya pada hari ini telah membawa kepada sejarah baru dimana saya sebelum ini tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam kesatuan hatta ahli jawatan kuasa kecil sekalipun. Saya juga percaya ramai PT dinegeri perak tidak mengenali saya melalui paras rupa. Kebanyakkan mereka hanya mengenali saya melalui tulisan di Mohcube, FB Keptakes atau dari Blog saya sendiri. Mesyuarat kali ini merupakan mesyuarat yang kedua pernah saya hadiri sepanjang menjadi ahli kesatuan.

Dalam pada itu, saya juga merasa sedih kerana mendengar ada nada-nada kecewa yang terdengar dari kalangan PT yang hadir. Mereka nampaknya tidak dapat menerima kekalahan calon mereka. Seharusnya mereka perlu sedar, dalam perebutan kuasa, personaliti yang membawa kepada perjuangan satu pihak tidak dapat menembusi hati pengundi. Membawa isu pt yang minoriti adalah satu sikap yang salah. Ini kerana kita perlu melihat isu yang lebih besar yang dihadapi oleh semua PT. Ini bukan bermakna golongan minoriti ini dipinggirkan, tetapi cara kita memperjuangkan hak itu merangkumi semua PT dan tidak terlalu khusus kepada sebilangan PT di kalangan kita sendiri. Menjatuhkan maruah seseorang juga bukan satu idea yang baik bagi berkempen untuk menang dalam sesuatu pertandingan.

Pada saya, untuk memenangi satu perebutan kuasa, sama seperti memenangi hati pengundi. Pengundi akan memilih calon yang dikenali. Sebagai contoh, kemenangan presiden, setiausaha dan bendahari telah jelas memandangkan ramai PT telah mengenali mereka sebelum ini. Jasa mereka kepada kesatuan juga telah dilihat oleh mata pengundi. Begitu juga kemenangan naib setiausaha penggal yang lepas dimana beliau telah memenangi jawatan no 2 dalam kesatuan. Keberanian beliau untuk bersuara semasa aktiviti kesatuan telah menambah populariti beliau dikalangan PT. Begitu juga saya, walaupun saya hanya menggunakan akses internet, masih ramai PT yang mengenali saya melalui tulisan. Berbeza dengan calon yang tewas. Kekuatan yang dibawa hanya sekadar dikalangan rakan sepejabat. Faktor ini merupakan punca kekalahan kerana populariti dikalangan ahli dari PTJ lain adalah kurang sama sekali. Maka disini jelas lah bahawa faktor populariti menjadi asas pengundi memilih calon.

Saya ingin menasihatkan kepada yang tewas supaya tidak kecewa. Walaupun pada hari ini anda tewas, namun tidak semestinya peluang itu terus tertutup. Dalam masa dua tahun lagi masih ada peluang. Jadi sewajarnya memulakan langkah dari sekarang untuk cuba memperkenalkan diri dikalangan PT melalui apa cara sekalipun yang difikirkan sesuai.

Sehubungan dengan itu, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih diatas mandat yang diberikan kepada PT negeri perak yang telah mengundi saya untuk jawatan tersebut. Walaupun sebagai Penolong Setiausaha, saya  rasa sudah cukup untuk memberi ruang yang luas bagi saya menyuarakan idea-idea saya. Jika sebelum ini saya hanya boleh menulis, maka mulai hari ini saya boleh bersuara dalam kesatuan. Jika sebelum ini saya hanya boleh berkempen tentang kesatuan melalui blog ini, ruangan FB dan MOHCUBE, maka selepas ini saya akan turun berjumpa saudara. Jika sebelum ini ada yang kata saya hanya mampu bercakap tetapi tidak mampu melaksanakan, maka pada hari bermulalah perlaksanaan yang akan saya buat terhadap apa yang saya katakan. InsyaAllah, apa yang saya tulis sebelum ini akan dilaksanakan bergantung kepada persetujuan AJK agung kesatuan. Semoga hak dan keadilan untuk PT dapat kita tuntut dan nikmati bersama.

Sekian, terima kasih.

No comments:

Post a Comment

Note: only a member of this blog may post a comment.