Total Pageviews

Wednesday 14 December 2011

SBPA : Kerajaan Memaksa, Penjawat Awam Terpaksa.

Hari ini saya telah menelaah SBPA satu per satu. Beberapa klausa dalam SBPA telah saya minit dalam buku harian saya. Setelah membaca keseluruhan tafsiran pekeliling tersebut maka disini saya ingin membincangkan perkara-perkara yang menarik minat.

Dalam klausa 40 berkaitan dengan Pergerakkan Gaji Tahunan, kerajaan telah menetapkan bahawa setiap pegawai yang berprestasi rendah dibawah 69% tidak akan mendapat kenaikan gaji tahunan. Sememangnya dalam SSM markah prestasi tidak berkait rapat dengan kenaikkan gaji tahunan. PT sumber masih boleh menyediakan KEW 8 diawal tahun lagi. Namun demikian setelah SBPA diperkenalkan, semuanya terikat dengan kaedah-kaedah yang terkandung.

Bagi menggambarkan ketelusan kerajaan terhadap penjawat awam, markah nilaian prestasi ini dinilai melalui penggunaan kaedah pelbagai penilai, KPI dan Laporan Penilaian Prestasi Tahunan. Sepanjang tempoh perkhidmatan saya sebagai PT, saya tidak pernah diarah oleh mana-mana penyelia saya untuk menyediakan Sasaran Kerja Tahunan. Saya juga yakin ramai PT diluar sana berkeadaan sedemikian. Ini adalah hakikat kerana tugas sebagai PT, kita tidak boleh mengira kuantiti dan volume tugas yang bakal kita hadapi. Namun demikian, berikutan markah nilaian prestasi menjadi asas kepada Pergerakkan Gaji Tahunan maka mulai 2012 setiap PT disaran menyediakan sasaran kerja tahunan dan KPI sendiri. Pastikan setiap sasaran dan KPI dibaca dan ditandatangani oleh penyelia sebagai persetujuan. Ini adalah untuk mengelakkan berlaku pertikaian pada masa menyemak semula sasaran tersebut. Perkara ini dinyatakan dalam Klausa 65 bab Penilaian Prestasi.

Bagi pegawai yang berprestasi rendah, kerajaan akan memberi 3 peluang bagi membuktikan kesahihan prestasi tersebut. Bagi mengelakkan penjawat awam teraniaya, maka pegawai awam yang berprestasi rendah akan dinilai semula oleh panel berkecuali. Kaedah-kaedah yang bakal digunakan termasuklah menukar pegawai tersebut ke jabatan / agensi lain serta mengubah penyelia yang menyelia. Di bawah klausa 67 Dasar Pemisah, penjawat awam yang berprestasi rendah yang tiada peluang kemajuan serta pegawai yang menghadapi masalah kesihatan yang menjejaskan keupayaan menjalankan tugas disediakan laluan untuk berhenti secara terhormat. Namun demikian saya tidak pasti sama ada klausa ini terpakai atau tidak terhadap OKU. Klausa ini seolah-olah menidakkan peluang pekerjaan terhadap OKU dan seharusnya JPA memandang serius berkenaan perkara ini.

Sejajar dengan hasrat kerajaan 1Malaysia yang mengambil berat masalah rakyat, penjawat awam yang dibersarakan atas dasar pemisah tidak dikecualikan dari menerima faedah pencen. Mereka akan dibayar sebagaimana pesara kerajaan bersara. Tempoh sepanjang perkhidmatan diambil kira. Perkara ini termaktub dibawah klausa 73.

Bagi penjawat awam yang memilih untuk bersara awal, bayaran pencen akan mula dikeluarkan setelah mencapai umur 55 tahun. Namun demikian, perkara ini dipanjangkan kepada mereka yang dilantik selepas 12 April 1991. Perkara ini dijelaskan dibawah klausa 72.

Dalam klausa 89, saya mengaitkan perkara ini dengan usaha kesatuan untuk menaik taraf jawatan pembantu tadbir. Perkara ini adalah satu berita gembira dimana memberi laluan kepada penjawat awam yang tidak berkelayakkan tinggi menjawat jawatan tersebut. Dalam klausa ini tempoh pengalaman kerja diambil kira bagi menggantikan kelayakkan akademik seseorang penjawat awam. Sekiranya jawatan PT dijumudkan ke Penolong Pegawai Tadbir, maka secara tidak langsung sesiapa yang tidak mempunyai Diploma atau STPM turut berkelayakkan untuk menjawat jawatan tersebut berdasarkan tempoh pengalaman kerja.

Pada saya sememangnya banyak kebaikkan dalam SBPA ini. Namun demikian, bagi pihak-pihak tertentu masih ada ruang dan jalan memanipulasikan keadaan bagi menganiaya pihak-pihak tertentu. Ketirisan dan kebocoran ini lah menjadi duri dalam daging untuk penjawat awam menerima SBPA ini.

Dalam klausa 93 walaupun seseorang penjawat awam menolak SBPA, namun hakikatnya hanya emolumen sahaja yang berbeza dari segi upah kerja. Segala kaedah dalam SBPA terpakai untuknya. Perkara ini jelas menunjukkan sikap kerajaan yang benar-benar memaksa setiap penjawat awam untuk menerima SBPA.

Kesimpulan yang dapat saya buat menerusi perkara-perkara diatas adalah seperti berikut :

1. Setiap PT mulai dari sekarang perlu menyediakan SKT diawal tahun dan diperakukan oleh penyelia. Ini kerana SKT akan menjadi bukti pencapaian kita yang sebenarnya. Maka jika masih mendapat prestasi rendah, telah wujud satu pertikaian tred diantara pekerja dan majikan.

2. Dasar pemisah merupakan satu jalan bagi ketua jabatan untuk memecat mana-mana anggota yang tidak disukai. Walaupun kerajaan memperkenalkan panel berkecuali namun tidak mustahil panel-panel ini 'buyers'. Sehubungan dengan itu saya mengusulkan kepada kesatuan untuk meluluskan Peraturan 1(f) dalam peraturan-peraturan kesatuan berkuat kuasa serta merta.

Thursday 8 December 2011

Lagu Ini Ku Tujukkan Untuk JPA.

Musik - ikut rentak lagu rindu-rinduan jadi kenang-kenangan nyanyian scoin.


Sakit hati ini bagai dihiris sembilu
Sesak nafas ini bila ku mendapat tahu
Pekeliling SBPA yang baru


JPA!!!
Kau bermain dengan kata-kata,
Hingga aku benar-benar telah terpedaya
JPA!!!
Sesungguhnya engkau tak mengerti
Kami PT benar-benar telah sakit 
Hati....


Benci dan geram jadi dendaman kami,
PAP dan PRA pula dapat naik gaji
Kami ni pulak sering dianak tiri,
Dimanakah setiaku, dimanakah janjimu.


Aku kau panggil PT,
Dia kau panggil PT,
Semua pun kau panggil PT,
Kau janji naik gaji, kau janji upgrade kami,
Kau mungkiri......


Tergamaknya dirimu menipu diri kami,
Dalam bajet ini.....


Selamat tinggal BN
Kami kan boikot undi.........

Wednesday 7 December 2011

Pendapat Mengenai SBPA Berdasarkan Intipati Perlaksanaan SBPA.

Esok merupakan hari pelancaran bagi SBPA. Masih ramai penjawat awam terutama dikalangan pembantu tadbir tertanya-tanya apakah kenikmatan yang bakal dirasai selepas menerima option SBPA ini.

Saya merujuk kepada intipati pelaksanaan SBPA. Dalam skim gaji secara jelas diterangkan bahawa kumpulan Primer (Turus) dan Kumpulan Pengurusan Tertinggi bakal menikmati gaji minimun - maksimum. Ini bermakna kenaikkan gaji mereka adalah berdasarkan pencapaian semasa sebagaimana peratus yang diwar-warkan. Gaji mereka hanya ditetapkan pada 2 paras iaitu satu gaji minimum dan satu gaji maksimum. Kenaikkan tahunan adalah berdasarkan kepada pencapaian sama ada 0% , 5%, 7% atau 15%. Semuanya bergantung kepada prestasi.

Berbeza dengan kumpulan pengurusan dan profesional serta kumpulan perlaksana dimana kenaikkan gaji tidak terikat kepada peratusan seperti diatas. Sbgmana yang dipost oleh KPPA, kenaikkan gaji adalah statik dan tidak bergantung kepada peratusan markah nilaian prestasi.

Disini telah terjawab bahawa amat jelas sekali bahawa Pembantu Tadbir tidak terikat dengan berapa peratus kenaikkan yang bakal dinikmati jika mencapai tahap prestasi cemerlang. Begitu juga bagi yang berprestasi rendah masih menikmati kenaikkan gaji tahunan.

Untuk Polisi Pemisah (Exit Policy), dalam intipati tersebut tidak dinyatakan secara jelas kumpulan manakah bakal diadaptasikan dengan peraturan tersebut.Berdasarkan perkara-perkara lain dalam intipati tersebut saya berpendapat bahawa exit polisi ini lebih tertumpu kepada kumpulan Primer dan Pengurusan Tertinggi. Pendapat ini disokong pula dengan khabar angin bahawa kerajaan juga bakal mengisi kekosongan jawatan kumpulan tersebut dari kalangan penjawat-penjawat swasta. Jadi amat jelas disini bahawa exit polisi ini lebih tertumpu kepada kumpulan tersebut.

Justeru itu saya berasa amat lega dengan kenyataan terbaru ini. Walaupun kenaikkan pada tahun ini tidak ketara namun KGT yang diberi jelas naik sehingga 100% berbanding SSM. Jika dahulu kenaikkan tahunan hanya RM45 kini telah menjadi RM95. Namun demikian pelarasan yang bakal dibuat dijangka mengambil kira gaji semasa kepada nilai yang hampir sama dalam tangga gaji baru. Ini bermakna kelebihan seniority tidak bermakna dimana pegawai yang baru dilantik hanya ditinggalkan dengan beberapa tangga gaji sahaja.

Friday 2 December 2011

SBPA : Jangan Terlalu Gembira

Post Tan Sri KPPA dalam wall facebook nya tentang kenaikkan gaji penjawat awam bagi skim perlaksana menceriakan segelintir golongan kita. Namun harus diingatkan kegembiraan itu sebenarnya boleh menjadi kedukaan berpanjangan kerana ada udang disebalik mee. Mee bukan mee udang di Kuala Sepetang Taiping, tetapi mee di gerai chokia tepi jalan di ceruk kampung.

Kita perlu mengetahui bahawa kerajaan kini sebenarnya kearah 'downsizing'. Bagi yang pernah mengambil subjek ekonomi mereka amat memahami apa yang dikatakan dengan downsizing dan faktor-faktor yang mempengaruhinya. 'Exit Policy' yang diperkenalkan oleh kerajaan adalah satu untuk mengecilkan jumlah penjawat awam. Pada masa ini walau berprestasi rendah namun kita masih lagi boleh menikmati kenaikkan gaji. Ada diantara kita bukan mendapat prestasi yang rendah kerana tidak membuat kerja. Ada juga diantara kita yang berprestasi tinggi bukan kerana kerjanya yang cemerlang. Bukan semua yang menerima anugerah khidmat cemerlang itu benar-benar layak untuk mendapatkannya. Ada ketua jabatan pula mengamalkan sistem kuota. Ada juga ketua jabatan yang mengamalkan sikap pilih kasih. Dan ada juga ketua jabatan yang suka mendengar khabar angin.

Isu yang ingin saya bincangkan adalah sejauh mana ketelusan seorang ketua jabatan yang akan menilai prestasi setiap anggota bawahan beliau. Rumor mengatakan dalam SBPA ini sekiranya kita tidak mencapai markah prestasi diatas 70% maka kerajaan bakal mengemukakan cadangan 'Exit Policy'. Ini bermakna secara lembutnya kerajaan menawarkan kita untuk berhenti berkhidmat dengan kerajaan. Inilah masalah dan kesan yang bakal timbul dikemudian hari.

Kebanyakkan ketua jabatan ini adalah terdiri dari manusia dan bukan dewa, bukan malaikat, bukan syaitan dan bukan juga binatang. Tetapi segelintirnya sebagaimana yang saya tulis diatas. Ketiadaan sikap PROFESIONALISME seseorang ketua jabatan akan menyebabkan kebarangkalian untuk penjawat awam mendapat perkenan 'Exit Policy' begitu tinggi. Ini kerana amat jelas sekali bahawa kuasa memberi markah prestasi berada ditangan mereka. Jika benar seseorang penjawat awam itu berprestasi rendah memang wajarlah ditunjukkan jalan keluar kepada mereka. Tetapi bagi yang teraniaya dimanakah jalan hala tuju untuk mereka ini mengadu?

Rakan-Rakan Pembantu Tadbir Sekalian,

Tony Pua jelas dan amat terang mengatakan apabila pakatan rakyat memerintah mereka bercadang untuk mengurangkan jumlah penjawat awam. Ini adalah satu keterangan yang jelas. DSN mencadangkan satu sistem baru untuk penjawat awam dengan kenaikkan gaji yang tinggi namun disebaliknya ada 'Exit Policy'. Jika kita melihat kepada isu dan isu tersurat maka sebenarnya tujuan tetap sama kearah mengurangkan bilangan penjawat awam. Man Power untuk melaksanakan hasrat tersebut adalah Ketua Jabatan.

Apabila kita selepas ini selesai menandatangani option SBPA maka secara tidak langsung kita akan begitu gembira menikmati gaji baru yang lebih tinggi. Dalam pada masa yang sama sebelah kaki kita sebenarnya berada diluar perkhidmatan awam. SBPA telah menunjukkan satu jalan keluar yang mudah. Ini lah perkara yang amat saya risaukan terutama kepada penjawat awam yang bukan kaki bodek dan kaki kipas.

Saya amat berharap, sekiranya benar rumor ini pihak kesatuan segera mengambil langkah bagi mengelakkan perkara yang tak diingini berlaku. Telah jelas dan amat terang sekali terdapat pihak yang amat berkuasa menentukan markah prestasi seseorang penjawat awam. Pihak yang boleh dibeli akan bertambah dan pihak yang teraniaya juga bakal bertambah. Sekiranya tidak dibendung perkara ini, maka kita akan melihat ramai penjawat awam akan kehilangan periuk nasi.

Sekian.