Total Pageviews

Tuesday 26 July 2011

Muhasabah Diri Di Bulan Ramadhan Al-Mubarak

Assalamualaikum, Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia.

Segala puji-pujian kepada Allah s.w.t dan syukur atas segala limpah kurniaNya maka pada hari ini saya masih lagi boleh mencoret tulisan dalam blog ini. Rezeki yang berkat membawa kepada hidup yang diberkati. Kehadiran bulan yang berkat Al-Ramadhan Al-Mubaruk ini amat-amat dinanti oleh orang-orang yang beriman dalam mendekatkan lagi diri dengan Tuhan Pencipta Alam.

Sesungguhnya dalam bulan Ramadhan itu kita melihat banyak kebaikkan dimana kita disuruh berpuasa. Bukan sahaja puasa dari menahan lapar dan dahaga bahkan puasa dari semua aspek termasuk fizikal dan mental. Pada bulan yang diberkati Allah ini, kita diperintahNya supaya mengawal nafsu Amarah. Nafsu Amarah ini merupakan martabat pertama yang wajib bagi setiap umat Islam menghapuskan. Bermula seawal Ramadhan, jika sebelum ini kita bangun tidur pada pukul 6.00 pagi maka kini kita bangun lebih awal sedikit untuk mendapatkan berkat Rabbul Alamin untuk bersahur dan seterusnya bolehlah kita mengerjakan sembahyang subuh berjemaah. Sesungguhnya orang-orang Islam yang berjaya melakukan sembahyang subuh berjemaah di masjid, maka baginya satu kemenangan yang amat besar. Allah menghidupkan cahaya dalam hati-hati mereka dan pada hari pembalasan kelak mereka akan diberikan cahaya dalam kegelapan.


Sepanjang hari berpuasa, bukan sahaja menahan lapar dan dahaga, malah kita ditegah melakukan perkara-perkara mazmummah. Kita harus ingat bahawa pekerjaan yang kita lakukan sebagai Pembantu Tadbir tidak kira dimana adalah merupakan satu Ibadah. Allah memerintahkan semua manusia dalam dunia ini mencari rezeki yang dikurniakan olehNya melalui sifatnya Yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Bagi umat Islam tentulah lebih baik lagi kerana selain mendapat rezeki yang halal, Allah memberi ganjaran pahala yang besar. Ditambah pula dalam keadaan berpuasa maka berganda-ganda pahala yang Allah berikan. Dari yang demikian, untuk mendapatkan keberkatan dalam Ibadah Pekerjaan, maka wajib bagi kita berwaspada supaya setiap perbuatan dalam pekerjaan itu seharusnya tidak lari dari prinsip kerana Allah semata-mata.

Setiap kali kita solat maka kita telah berikar, sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah semata-mata. Jadi adalah wajib kepada setiap Insan yang beragama Islam menunaikan ikrarnya kepada Allah. Maka jika kita gagal, tidak sempurnalah iman kita.

Bertitik tolak dari situ, dalam bulan Ramadhan ini, marilah kita bersama-sama muhasabah diri kita sejauh mana kita mampu mengatasi nafsu amarah kita. Semoga Allah memberkati segala amalan kita dan menjauhkan kita dari azab seksa api neraka.

Sekian.

Roshidi Bin Ahmad Ismail
Penolong Setiausaha
Kesatuan Pembantu Tadbir Cawangan Perak.

Sunday 24 July 2011

Diskriminasi Lagi, Tapi Bukan Pegawai Atasan, PT Sendiri

Ini adalah sesuatu yang pelik. Bila kita bercakap tentang diskriminasi selalunya yang terlibat adalah pegawai atasan. Tetapi pada hari ini berlaku sebaliknya. PT yang mendapat jawatan kanan pula mendiskriminasikan PT sendiri.

Tujuan menulis disini adalah bukan untuk publisiti. Tetapi ini adalah kenyataan yang berlaku sendiri keatas diri saya. Majoriti PT yang kerap buka MOHCUBE satu masa dulu tentu pernah membaca tulisan saya mengkritik pegawai atasan termasuk cc saya sekali. Amat jelas disitu bahawa saya telah membentangkan Fakta dimana tugas-tugas dalam Pengurusan Aset adalah dipertanggungjawabkan kepada PEGAWAI ASET dimana jelas dalam TPA tertulis siapa pegawai aset yang perlu dilantik. Tidak ada mana-mana dalam TPA tertulis tugas itu perlu dipertanggungjawabkan keatas PEMBANTU TADBIR. Apabila ketua jabatan menggunakan kuasa veto, maka mereka mampu mengubah TPA itu sendiri mengikut cita rasa kesesuaian diri mereka. Tetapi apabila satu aduan dibuat kepada BIRO PENGADUAN AWAM, maka kenyataan yang berlaku adalah PT itu telah mengingkari arahan ketua jabatan untuk melaksanakan tugas tersebut. Jelas dan amat terang sekali betapa BIRO PENGADUAN AWAM ini sendiri adalah 'BUYERS YANG BESAR' dimana mereka ini menjaga kepentingan ketua jabatan.

Berbalik kepada diskriminasi tadi, kenyataannya hasil dari tindakan mengkritik tadi maka telah diputuskan bahawa tugas-tugas lain yang dibuat tidak dinilai dengan sebenar-benarnya. Penilaian pegawai ini iaitu Pembantu Tadbir Kanan W22 menilai dengan 'EMOSIONAL'. Oleh kerana ia begitu subjektif maka amat sukar untuk dibuktikan. Namun sekiranya ada pegawai-pegawai lain yang melihat bagaimana saya berfungsi dan memahami tugas-tugas PT yang sebenar, maka mereka akan tahu siapa sebenarnya yang telah gagal melaksanakan tugas. Jelas dan amat terang, dalam satu mesyuarat, Ketua Jabatan telah mengeluarkan kata-kata bahawa tugas PT sebenarnya adalah menaip surat. Pada hari ini, KETUA JABATAN TERSEBUT iaitu seorang timbalan pengarah telah menidakkan kata-kata beliau pada hari itu. Sekali lagi jelas kredibiliti pegawai ini amat-amat dipersoalkan? Inikah corak rupa bentuk orang Islam yang diangkat menjadi KETUA JABATAN? Sedangkan pada masa ini ketua jabatan yang bukan Islam jauh lebih rasional dari ketua jabatan seperti ini. Hakikatnya amat jelas, pangkat dalam sektor awam bukan dinilai dari keseluruhan aspek, tetapi masih ada ketirisan dimana berlaku unsur-unsur memilih calon yang gemar melobi dan sebagainya. Tidak ada nilai 'MURNI' dalam pemilihan.

Kesan yang amat buruk dengan 'reflection' kes ini adalah penafian HAK KENAIKKAN PANGKAT bagi yang benar-benar layak. Penafian Hak bagi yang benar-benar layak menerima ANUGERAH PERKHIDMATAN CEMERLANG dan pelbagai lagi isu yang boleh ditimbulkan.

Namun saya memegang kepada PRINSIP ISLAM bahawa segala yang berlaku adalah diatas kehendak tuhan. Sesungguhnya dia maha berkehendak dan saya menerima dengan hati terbuka. Bukan mahukan anugerah, tetapi jangan menafikan rezeki orang. Memang kalau dah bukan rezeki kita maka usahalah bagaimana pun tetap tidak akan menjadi milik kita. Menganiaya itu satu perkara, maka tetap ada pembalasan. Doa orang yang dizalimi dijanjikan tuhan akan makbul permintaanya hatta orang yang bukan Islam. Itu janji tuhan kepada manusia yang melambangkan sifatNya yang Maha Pemurah Lagi Maha Penyayang. Maka biarkanlah.

Buku baru telah pun dibuka, catatan telah pun dimulakan. Bukti telah diterangkan dan nyata siapa yang benar dan siapa yang bersalah. Umumnya Allah Lebih Maha Mengetahui dari segala-galanya.

Monday 18 July 2011

Perkhidmatan Nasihat Kepada Pembantu Tadbir

Salam Sejahtera, Salam 1Malaysia.

Saya melihat ada sesetengah pembantu tadbir yang menghadapi masalah tidak kira apa sahaja. Ada diantara kita yang mengalami masalah pekerjaan, kewangan dan perundangan. Masalah-masalah ini apabila disimpan dalam hati boleh membawa kepada keburukkan dan stress. Ini boleh mengakibatkan kesihatan mental terjejas dan jika tidak dibendung dari awal boleh membawa kepada penyakit skizoferenia.

Bagi membantu supaya gejala ini tidak merebak, saya membuka peluang kepada rakan-rakan diluar yang mempunyai masalah berkaitan dengan pekerjaan, kewangan dan perundangan untuk mendapatkan nasihat. Sebagai ahli kesatuan yang bertanggungjawab, saya merasakan perkara ini amat penting memandangkan antara tujuan-tujuan kesatuan itu ditubuhkan adalah untuk menjaga kebajikan setiap ahlinya. Selaras dengan tujuan itu, masa wajar ditubuhkan satu lembaga penasihat atau kita boleh panggil AJK kebajikan Ahli.

Bagi merialisasikan matlamat menjaga kebajikan, perkhidmatan nasihat ini akan tertumpu kepada mereka yang mempunyai masalah komunikasi diantara pegawai (atasan dan bawahan), masalah kewangan (pinjaman lebih 60%) ,perundangan (kes-kes tatatertib) dan lain-lain lagi. Untuk mendapatkan khidmat nasihat ini, boleh terus email kepada saya di roshidias@prk.mog.gov.my . Kerahsiaan adalah terjamin sepenuhnya dan jika didapati ada maklumat yang bocor, anda boleh menyaman saya di mahkamah tinggi.

Sekian, terima kasih.

Berkhidmat Untuk Negara & Kesatuan,

Roshidi Bin Ahmad Ismail
Penolong Setiausaha
Kesatuan Pembantu Tadbir Cawangan Perak.

Friday 15 July 2011

Cadangan Mengadakan Kursus / Bengkel Kesatuan Pembantu Tadbir.

Sasaran : Kumpulan PT yang belum mendaftar sebagai ahli.
Tempat : Mengikut PTJ dan daerah masing-masing.
Masa : Hari bekerja (8.00 pagi - 5.00 petang)
Objektif : Menyedarkan kumpulan ini tentang kepentingan berkesatuan.
Tajuk Kursus : Hala Tuju Pembantu Tadbir Dalam Perkhidmatan Awam.

Merujuk kepada perkara diatas, saya dengan ini mencadangkan kepada kesatuan pt cawangan perak untuk mengadakan satu kursus seperti diatas. Kumpulan yang disasarkan adalah terdiri daripada mereka yang belum menjadi ahli kesatuan. AJK mengikut PTJ perlu terlibat dalam mengurus peserta-peserta yang terlibat. Tenaga penceramah pula terdiri dari wakil-wakil kesatuan.

Tempat yang sesuai utk mengadakan bengkel ini adalah mengikut PTJ. Ini kerana kita amat faham sesetengah PT sukar untuk keluar dari kawasan tempat kerja terutama dikalangan wanita yang mempunyai komitment tinggi di pejabat mahupun di  rumah. Hakikatnya, mereka ini memang begitu payah untuk hadir kursus jika dibuat diluar daerah. Mengadakan kursus sehari ditempat bertugas boleh menyelesaikan masalah ini. Jika buat di Hospital Slim River contohnya, boleh melibatkan PT dari seluruh daerah batang padang. Bagi kawasan utara pula, dicadangkan supaya diadakan di Hospital Taiping. Disebelah kerian pula boleh diadakan di Hospital Parit Buntar. Bagi kawasan Ipoh, boleh dibuat di Hospital Raja Permaisuri Bainun. Untuk kawasan kampar dan sekitar batu gajah hingga ke Kampar, boleh dibuat di Hospital Batu Gajah. Bagi kawasan PKD hilir perak, Hospital Teluk Intan merupakan lokasi strategi. Manakala PKD Hulu Perak boleh dibuat di Hospital Gerik.

Objektif utama kursus ini adalah menambah bilangan ahli. Oleh itu modul yang perlu diisi dalam kursus ini adalah penerangan tentang peranan sebenar kesatuan sekerja dan fungsinya. Selain itu, untuk mendapatkan peruntukkan Latihan Dalam Perkhidmatan, boleh diselitkan dengan modul perlaksanaan HRMIS dalam Perkhidmatan Awam. Modul HRMIS ini boleh dijadikan modal kerana semua PT akan menggunakan sistem ini. Kita juga boleh menyediakan tenaga penceramah dari kalangan PT sendiri iaitu Pakar HRMIS di JKN, En. Zainal. Maka disini kita dapat menerangkan fungsi HRMIS, cara penggunaan aplikasi dan sebagainya disamping menyelitkan modul penerangan kepada kesatuan.

Untuk budget pula, selain peruntukan dari jabatan masing-masing, kita boleh dapatkan dari sumber-sumber kontraktor dimana kontraktor yang selalu berurusan dengan PT stor atau kewangan adalah sasaran kita. Sumbangan kontraktor itu hendaklah diatur oleh PT yang terlibat, tetapi sumbangan terus kepada Bendahari Kesatuan. Perkara ini boleh dilaksanakan berdasarkan Seksyen 50A. Kutipan dana dan wang : Tiada kesatuan sekerja boleh memasuki mana-mana perjanjian dengan mana-mana orang dengan mana orang sedemikian mengaku janji untuk mendapat dana atau mengutip wang bagi atau mewakili kesatuan sekerja melainkan dengan kelulusan awal secara bertulis dari Ketua Pengarah dan tertakluk kepada syarat-syarat sedemikian yang boleh dikenakan olehnya.

Berdasarkan seksyen ini, kita boleh mendapatkan sumbangan dengan mendapatkan kelulusan secara bertulis dari Pengarah JHEKS. Kesatuan juga bukan agen yang berurusan dengan kontraktor terbabit. Maka tidak ada kena mengena dengan kontraktor terbabit dan tidak ada apa-apa perjanjian, urusan perniagaan atau apa-apa kepentingan diantara kesatuan dan kontraktor atau kepentingan kedua-duanya.

Oleh yang demikian, saya selaku ahli kesatuan mencadangkan perkara ini kepada Presiden untuk dipertimbangkan.

Sekian, terima kasih.
Roshidi Bin Ahmad Ismail
Penolong Setiausaha KEPTAKES Cawangan Perak.

Saturday 9 July 2011

Terima Kasih Pengundi

Saya amat bersyukur pada hari ini kerana telah diangkat menjawat jawatan Penolong Setiausaha bagi kesatuan cawangan. Kemenangan ini pada saya amat besar maknanya. Walaupun pada asalnya target saya adalah untuk bertanding merebut kerusi Timbalan Pengerusi, nampak nya rezeki saya untuk jawatan tersebut masih belum sampai lagi.

Pada hakikatnya, saya melihat kemenangan ini memberi gambaran bahawa ahli ingin satu perubahan baru. Iaitu mahukan kesatuan lebih agresif dan lebih terbuka disamping melaksanakan amanah dari ahli dengan prinsip keadilan. Sebelum ini telah saya nyatakan prinsip saya iaitu KEADILAN untuk PT.

Tidak dinafikan sebelum ini, pegawai-pegawai kesatuan yang dilantik berjuang untuk PT dengan ikhlas. Namun demikian, idea yang disumbangkan tidak sampai ke peringkat akar umbi. Apabila tertubuhnya FB KEPTAKES, maka ia telah menjadi satu saluran maklumat yang penting bagi ahli untuk mendapatkan maklumat. Sekali lagi saya mengucapkan tahniah kepada PT yang berada di JOHOR, kerana mereka adalah yang pertama sekali memperkenalkan FB kesatuan dimana hasil kerja Saudara Khairul dan kumpulannya. Mereka yang memulakan idea penubuhan FB bagi menyalurkan maklumat kepada ahli. Sumbangan mereka ini seharusnya diberi satu penghargaan. Bertitik tolak dari situ, bermulalah era baru dalam kesatuan.

Saya juga tidak melupakan peranan MOHCUBE sebagai salah satu cabang untuk bersuara. Sebelum ini, saya telah banyak menulis tentang kritikan saya kepada kesatuan dalam ruangan Forum yang disediakan dalam MOHCUBE. Saya melihat kesatuan pada ketika itu telah lari dari tujuan penubuhannya. Sebagai ahli, saya juga tidak terkecuali dari terpinggir untuk menerima sebarang maklumat aktiviti yang dijalankan sehingga membawa kepada aduan-aduan di Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Sekerja yang mampu menggugat kesatuan negeri perak. Sayugia diingatkan bahawa tujuan saya pada ketika itu hanya sekadar memberi 'amaran' kepada kesatuan supaya lebih telus mengikut undang-undang yang ditetapkan dan tidak pula saya berniat untuk merosakkan gabungan itu. Buktinya aduan yang saya lakukan hanya berkaitan dengan pengedaran buku peraturan. Sekiranya saya berniat untuk merobohkan kesatuan itu, maka ada isu yang lebih besar boleh diutarakan.

Pengedaran buku peraturan kepada ahli merupakan satu perkara yang amat penting. Tujuan buku ini adalah untuk memaklumkan kepada setiap ahli mengenai peraturan yang perlu diikuti dan tujuan berkesatuan. Ini bermakna setiap perkara yang berlaku hendaklah dirujuk kembali dalam buku tersebut.

Setelah menyelami buku tersebut maka timbullah satu perasaan sayang kepada kesatuan. Hakikat penubuhan kesatuan itu sangat murni. Tetapi pembawakkan ajk-ajk telah mengecundangkan tujuan asal. Namun demikian, perubahan telah mula kelihatan dibawah pimpinan pengerusi Pn Rosnah. Saya melihat beliau seorang yang terbuka dan mampu menerima kritikan.

Kemenangan saya pada hari ini telah membawa kepada sejarah baru dimana saya sebelum ini tidak pernah memegang apa-apa jawatan dalam kesatuan hatta ahli jawatan kuasa kecil sekalipun. Saya juga percaya ramai PT dinegeri perak tidak mengenali saya melalui paras rupa. Kebanyakkan mereka hanya mengenali saya melalui tulisan di Mohcube, FB Keptakes atau dari Blog saya sendiri. Mesyuarat kali ini merupakan mesyuarat yang kedua pernah saya hadiri sepanjang menjadi ahli kesatuan.

Dalam pada itu, saya juga merasa sedih kerana mendengar ada nada-nada kecewa yang terdengar dari kalangan PT yang hadir. Mereka nampaknya tidak dapat menerima kekalahan calon mereka. Seharusnya mereka perlu sedar, dalam perebutan kuasa, personaliti yang membawa kepada perjuangan satu pihak tidak dapat menembusi hati pengundi. Membawa isu pt yang minoriti adalah satu sikap yang salah. Ini kerana kita perlu melihat isu yang lebih besar yang dihadapi oleh semua PT. Ini bukan bermakna golongan minoriti ini dipinggirkan, tetapi cara kita memperjuangkan hak itu merangkumi semua PT dan tidak terlalu khusus kepada sebilangan PT di kalangan kita sendiri. Menjatuhkan maruah seseorang juga bukan satu idea yang baik bagi berkempen untuk menang dalam sesuatu pertandingan.

Pada saya, untuk memenangi satu perebutan kuasa, sama seperti memenangi hati pengundi. Pengundi akan memilih calon yang dikenali. Sebagai contoh, kemenangan presiden, setiausaha dan bendahari telah jelas memandangkan ramai PT telah mengenali mereka sebelum ini. Jasa mereka kepada kesatuan juga telah dilihat oleh mata pengundi. Begitu juga kemenangan naib setiausaha penggal yang lepas dimana beliau telah memenangi jawatan no 2 dalam kesatuan. Keberanian beliau untuk bersuara semasa aktiviti kesatuan telah menambah populariti beliau dikalangan PT. Begitu juga saya, walaupun saya hanya menggunakan akses internet, masih ramai PT yang mengenali saya melalui tulisan. Berbeza dengan calon yang tewas. Kekuatan yang dibawa hanya sekadar dikalangan rakan sepejabat. Faktor ini merupakan punca kekalahan kerana populariti dikalangan ahli dari PTJ lain adalah kurang sama sekali. Maka disini jelas lah bahawa faktor populariti menjadi asas pengundi memilih calon.

Saya ingin menasihatkan kepada yang tewas supaya tidak kecewa. Walaupun pada hari ini anda tewas, namun tidak semestinya peluang itu terus tertutup. Dalam masa dua tahun lagi masih ada peluang. Jadi sewajarnya memulakan langkah dari sekarang untuk cuba memperkenalkan diri dikalangan PT melalui apa cara sekalipun yang difikirkan sesuai.

Sehubungan dengan itu, saya sekali lagi merakamkan setinggi-tinggi penghargaan terima kasih diatas mandat yang diberikan kepada PT negeri perak yang telah mengundi saya untuk jawatan tersebut. Walaupun sebagai Penolong Setiausaha, saya  rasa sudah cukup untuk memberi ruang yang luas bagi saya menyuarakan idea-idea saya. Jika sebelum ini saya hanya boleh menulis, maka mulai hari ini saya boleh bersuara dalam kesatuan. Jika sebelum ini saya hanya boleh berkempen tentang kesatuan melalui blog ini, ruangan FB dan MOHCUBE, maka selepas ini saya akan turun berjumpa saudara. Jika sebelum ini ada yang kata saya hanya mampu bercakap tetapi tidak mampu melaksanakan, maka pada hari bermulalah perlaksanaan yang akan saya buat terhadap apa yang saya katakan. InsyaAllah, apa yang saya tulis sebelum ini akan dilaksanakan bergantung kepada persetujuan AJK agung kesatuan. Semoga hak dan keadilan untuk PT dapat kita tuntut dan nikmati bersama.

Sekian, terima kasih.

Mesyuarat Agung Kesatuan Pembantu Tadbir Kesihatan Cawangan Perak.

Pada pukul 9.00 pagi tadi telah berlangsung mesyuarat agung kesatuan bagi cawangan negeri perak bertempat di pusat latihan di Hospital Pasir Mas. Mesyuarat dirasmikan oleh YDP kesatuan. Turut serta bersama adalah Pengerusi cawangan negeri Kelantan.

Seperti biasa, jawatan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari kekal. Timbalan pengerusi pula berubah alih memandangkan penyandang sedia ada bakal berpencen. En Samsuri kini diangkat untuk memegang jawatan tersebut. Jawatan yang ditinggalkan oleh En Samsuri pula diisi oleh En Roshidi sebagai Pen. Setiausaha.

Bagi ahli jawatan kuasa pula, hanya beberap nama sahaja masih kekal seperti Pn Zahratul Aini dan En Nazri. Banyak muka baru diketengah kan dalam perebutan kerusi ini.

Mesyuarat kali ini dilihat lebih telus dimana pengundian dibuat secara diplomasi. Percubaan kali pertama En. Roshidi bertanding dalam perebutan kerusi Naib Setiausaha nampak nya memberikan gambaran betapa besar pengaruh Internet. Ini bermakna, rata-rata pembantu tadbir telah mula menyedari keperluan internet dalam menyampaikan sebarang maklumat.

Namun selain dari cerita gembira bagi yang bertanding, masih ada yang kecewa kerana gagal dipilih. Mereka meletakkan harapan yang tinggi untuk menang. Melihat dari sokongan yang dibawa dari PTJ masing-masing, saya percaya perkara ini bertujuan untuk menguatkan lagi sokongan kepada calon namun masih tidak memadai untuk merebut jawatan tersebut. Hakikat nya tetap populariti calon itu sendiri merupakan Faktor kemenangan.

Mengulas lanjut mengenai kemenangan calon yang bertanding bagi jawatan penting iaitu Pengerusi, Naib Pengerusi, Setiausaha, Naib Setiausaha dan Bendahari, 80% calon yang menang adalah mereka yang telah lama berada dalam kesatuan dan mereka lebih dikenali. Berbeza dengan kemenangan Naib setiausaha yang pertama kali bertanding.

Sehubungan dengan itu, mesyuarat pada kali ini merupakan mesyuarat yang paling berjaya dimana telah berjalan mengikut seperti yang dikehendaki dalam Akta Kesatuan Sekerja 1959 berbanding dengan mesyuarat sebelum ini.

Momentum ini seharusnya menjadi titik tolak Transformasi dalam kesatuan supaya sistem Demokrasi dapat dilaksanakan dengan lebih telus lagi.

Pengarang,
DARI MINDA PEMBANTU TADBIR

Tuesday 5 July 2011

Pembaziran Duit Rakyat Melalui Kemudahan Yang Disediakan Oleh Kerajaan Kepada Kumpulan Pengurusan Dan Profesional

Petikan ini diambil dari Hansard Parlimen DN-04072011 dari Ucapan Timbalan Menteri Pelajaran 1.

Datuk Dr. Wee Ka Siong: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua, sepertimana yang dalam
mukadimah saya tadi mengatakan bahawa kajian dibuat ketika itu. Akan tetapi terdapat
pengumuman oleh matan Perdana Menteri yang menaikkan gaji dan allowance pada tahun 2010.
Sebagai contoh, COLA kalau dahulunya sebelum tahun 2007 memang tidak ada. Di kawasan
bandar RM300, RM200, dan RM100. Tambahan pula, imbuhan tetap perumahan ditambah.
Sebagai contoh kalau dahulunya pegawai hanya menerima RM165, kini untuk DG41
RM250. Kalau DG44 ialah RM400, DG48 ialah RM550 dan yang berikutnya DG52 dan DG54
ialah masing-masing RM600 dan RM700
. Ini menampakkan bahawa kalau mereka hendak sewa
di tempat, di kampung-kampung kawasan pedalaman mungkin sewanya hanya RM200 dan guru
pandai membuat perhitungan. Kalau dapat jimat RM500, kenapa hendak duduk di kuarters
? Oleh
sebab itulah saya rasa dari segi kajian dasar, bagaimana pemotongan ITP dan 50 peratus COLA
itu dapat disemak semula. Ini tertakluk kepada agensi pusat untuk memutuskannya.


Catatan :
Berdasarkan kepada petikan diatas adalah amat jelas sekali kebanyakkan kemudahan yang disediakan oleh kerajaan kepada Kumpulan Pengurusan & Professional ini adalah telah berlebihan sama sekali. Jika kita bandingkan dengan Kumpulan Sokongan, elaun COLA hanya untuk bayar duit minyak. Tetapi tetap tidak mencukupi sedangkan kumpulan Pengurusan & Professional juga dapat COLA dan dapat claim tuntutan hitungan batu. Setiap batu dibayar sebanyak RM0.60 bagi tiap-tiap kilometer. Dengan dibekalkan elaun COLA dan Elaun hitungan batu itu, maka perjalanan mereka sebenarnya menguntungkan. Kalau nak kira duit tayar, road tax, insurans dan sebagainya saya rasa masih ada lebihan dan keuntungan. Malah duit elaun sahaja melebihi keperluan asas. Duit gaji pokok tidak perlu disentuh dan boleh disimpan kecuali pegawai yang mengamalkan hidup mewah, materialistik. Mementingkan kemahuan dari keperluan.

Mengenai ITP pula jelas kerajaan memberi kemudahan yang banyak dengan anggaran kerajaan sewa rumah diantara 250 hingga 700. Sedangkan pada masa yang sama kerajaan hanya memberikan kumpulan sokongan jauh lebih rendah (RM180.00) dari harga sewa rumah semasa. Bantuan yang mereka terima ini adalah berlebihan. Mereka boleh menyewa rumah yang murah kalau mereka mahu dan mendapat lebihan dari bantuan yang disediakan. Tetapi bagi kita kumpulan sokongan, kita perlu menambah pula. Sudahlah gaji yang diberikan tidak sebanyak mana, duit minyak melalui Elaun COLA yang diberikan masih tidak mencukupi bagi menampung kos perjalanan bertugas, Imbuhan Tetap Perumahan Pun tidak mampu menampung bagi membiayai sewa rumah di zaman sekarang. Jadi dimana letaknya PERIKEMANUSIAAN?

Berbalik kepada Isu yang dibahaskan oleh Menteri di Dewan Negara itu, saya mengusulkan kepada CEUPACS supaya dikaji relevan elaun khas yang diberikan kepada kakitangan kumpulan sokongan sewajarnya dikaji balik supaya lebih relevan dengan keadaan semasa. Kemudahan yang diberikan kepada Kumpulan Pengurusan & Profesional membuktikan bahawa pada masa ini KERAJAAN MALAYSIA seolah-olah melaksanakan HUKUM YANG KAYA BERTAMBAH KAYA (Elaun diberikan telah berlebihan dari keperluan. Lebihan tadi boleh dijadikan aset untuk menambah harta) YANG MISKIN BERTAMBAH MISKIN (Elaun diberikan tidak mencukupi tidak ada lebihan malah terpaksa berhutang bagi membeli aset, menjadikan baki bulanan menjadi negatif).

Sehubungan dengan itu, adalah wajar perkara ini dibahaskan oleh CUEPACS,

Monday 4 July 2011

Merungkai Akta Majlis Perundingan Gaji Negara

Di dewan rakyat pada 30 jun yang lepas perbahasan mengenai akta ini amat panas sekali. Pihak kerajaan mempertahankan akta ini tanpa sebarang pindaan manakala pihak pembangkang pula mahukan satu ketetapan dibuat terus mengenai gaji minimum tanpa merujuk kepada majlis perundingan gaji negara setelah beberapa siri kajian serta makmal melalui konsultan yang dilantik oleh kerajaan. Selama 3 hari saya telah mengkaji hansard parlimen. Di sebalik pertikaian kerajaan dan pembangkang, ada beberapa isu rasional yang dikemukakan dalam perbahasan itu wajar diberi perhatian.

Untuk makluman pembaca, akta seperti ini sebenarnya telah wujud semenjak tahun 1947. Dari pada akta inilah maka lahirnya Elaun yang dinamakan COLA. Tujuan COLA adalah untuk membantu pekerja dalam porverty fight. Dalam perbahasan ini amat jelas bahawa pertikaian yang akan timbul adalah antara majikan dan pekerja. Majikan ingin untung besar dan pekerja ingin gaji besar. Jika diletakkan gaji minimum maka majikan terpaksa menanggung kos yang lebih tinggi. Sedangkan pada masa yang sama kualiti kerja oleh pekerja sama sahaja. Maka jelaslah disini bahawa betapa pekerja atau saya lebih suka memanggil perlaksana itu sebenarnya memainkan peranan yang amat penting sekali dalam sesuatu tugas kerja dan memberi keuntungan kepada majikan.

Rang undang-undang ini dijangka akan memberi impak kepada tangga gaji bagi jawatan-jawatan seperti pekerja rendah awam dan pembantu am pejabat, pembantu perawatan kesihatan dan tukang kebun. Ini kerana jawatan-jawatan ini pada gaji permulaan mereka adalah dibawah paras kemiskinan. Takrifan gaji yang dimaksudkan dalam akta ini iaitu gaji pokok memberi gambaran bahawa golongan ini bakal mendapat perubahan dalam matriks gaji. Kerajaan walaubagaimanapun terpaksa mengkaji semula lain-lain jawatan memandangkan selepas perubahan dibuat bagi jawatan yang rendah, maka tidak ada lagi jurang perbezaan diantara Pembantu Am Pejabat dan Pembantu Tadbir. Ini kerana gaji hampir serupa namun hanya tugas yang berbeza. Begitu juga Pembantu Perawatan Kesihatan dan Tukang Masak. Inilah masalah yang sebenarnya dihadapi oleh kerajaan dalam melaksanakan akta ini.

Melalui majlis ini, kerajaan akan melantik beberapa ahli yang terdiri dari pihak kesatuan sekerja, pihak majikan dan pakar-pakar ekonomi, teknikal dan pelbagai pakar yang terlibat. Perlantikan ahli ini dibuat berdasarkan syor dari kesatuan majikan dan sekerja. Majlis ini ditubuhkan bagi membuat kajian mengenai jumlah amaun yang sesuai sebagai gaji lantai bagi setiap 2 tahun. Jadi tujuan Majlis ini adalah menetapkan kadar gaji mengikut kesesuian dari segi ekonomi, teknikal, politik dan pelbagai lagi. Jadi tidak mustahil berlaku dalam keadaan ekonomi baik, maka gaji minima akan berada diatas paras kemiskinan begitu juga sebaliknya. . Namun demikian, Menteri Sumber Manusia telah memberi jaminan bahawa Majlis ini akan menilai gaji yang relevan berdasarkan consumer price index dan garis porverty.

Setelah majlis membuat kajian, syor tersebut akan dikemukakan kepada menteri sumber manusia. Menteri pula akan membentangkan syor tersebut kepada kabinet. Jemaah menteri akan meluluskan syor yang dikemukakan oleh Majlis. Apa yang menjadi persoalan ialah, adakah kemungkinan syor Majlis akan ditolak oleh jemaah menteri? Ini adalah sesuatu yang tidak mustahil. Jemaah menteri telah diberi kuasa untuk menerima atau menolak syor yang dikemukakan. Namun demikian, sekiranya berlaku imej jemaah menteri ini akan terjejas berikutan tindakan tersebut bakal mengundang kemarahan pengundi dimana kuasa pengundi mampu menjatuhkan seseorang menteri dalam pilihan raya sebagai mana yang telah berlaku di Parlimen Sungai Siput dan Lembah Pantai pada PRU-12 yang lepas.


Berdasarkan faktor diatas, kementerian sumber manusia akan merujuk kepada kesatuan pekerja yang terbesar di negara ini untuk mendapatkan pandangan dan cadangan. Seperti kita sedia maklum, sektor swasta diterajui oleh MTUC manakala sektor awam pula diterajui oleh Cuepacs. Kedua-dua kesatuan ini jelas memperjuangkan nasib pekerja dan mempunyai banyak ahli gabungan.

Saya ingin mengulas perkaitan diantara Kesatuan PT dengan Akta ini. Kita telah menghantar memorandum kepada JPA bagi mengkaji semula gred Jawatan Pembantu Tadbir. Pihak JPA juga telah menjawab surat tersebut dengan mengatakan bahawa kajian sedang dijalankan. Jadi inilah kajian yang dimaksudkan oleh JPA.

Hanya melalui Majlis Perundingan Gaji Negara yang boleh mengubah atau menggubal sesuatu skim perkhidmatan. Berdasarkan perkara ini, saya rasa kita tidak perlu lagi mengemukakan apa-apa pertanyaan kepada JPA. Kerana telah jelas rang undang-undang ini berkaitan dengan apa yang kita mohon.

Berbalik kepada kesatuan tadi, faktor kesatuan terbesar adalah menjadi perkara penting dalam mengemukakan apa-apa cadangan kepada menteri. Kita sedia maklum bahawa cupacs merupakan gabungan besar kesatuan penjawat awam. Namun demikian, kita juga harus mengetahui berapakah bilangan ahli cuepacs mengikut jawatan. Ini kerana kita perlu mengetahui dimanakah kedudukan Pembantu Tadbir dalam rangking bilangan ahli dalam Cuepacs. Ini kerana jika kita menduduki rangking pertama, maka sudah tentu kita merupakan majoriti ahli dalam cuepacs. Maka kita berpeluang besar mengemukakan masalah yang kita hadapi. Melalui pandangan saya, saya merasakan jawatan Pembantu Tadbir ini merupakan jawatan terbanyak dalam sektor awam. Tidak ada sebarang jabatan atau kementerian yang tidak mempunyai pembantu tadbir. Dan setiap jabatan itu pula mempunyai sekurang-kurangnya 3 hingga 5 orang. Maka ada berapa banyak jabatan di Malaysia. Berbanding dengan jawatan lain, teknikal contohnya, amat terhad kepada beberapa jabatan sahaja seperti di Jabatan Kerja Raya. Medical pula lebih kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, begitu juga dengan guru, lebih cenderung kepada Kementerian Pelajaran. Berbeza dengan Pembantu Tadbir yang berada di seluruh jabatan di negara ini tidak kira jabatan itu kecil atau besar tetap memerlukan pembantu tadbir dalam urusan pentadbiran.

Berdasarkan perkara diatas, saya merasakan adalah satu keperluan utama untuk menggabungkan semua pembantu tadbir dalam satu kesatuan dan kemudian kesatuan gabungan ini bergabung dalam ceupacs. Melalui gabungan ini, kesatuan pembantu tadbir akan lebih menyerlah dengan jumlah bilangan ahli yang ramai.

Sehubungan dengan itu, untuk mengekalkan kepentingan Pembantu Tadbir dalam Majlis Perundingan Gaji Negara, maka kita perlu bergabung dan menjadi satu supaya kesatuan kita ini dilihat kesatuan yang mempunyai paling ramai ahli diantara kesatuan-kesatuan gabungan dalam cuepacs. Namun dalam kementerian kesihatan sendiri masih ada yang belum menjadi ahli.

Oleh yang demikian, jika kita hendak mendapatkan sagu, maka hendaklah kita pecahkan ruyungnya. Jika kita hendak memastikan kepentingan kita diutamakan, maka bersatulah kita dalam kesatuan. Jika sebaliknya, maka kita tidak akan dapat apa-apa.